ByteDance Rancang Labur RM10 Bilion Dalam AI, Jadikan Malaysia Hab AI Di Rantau Ini – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Pemilik Tiktok, ByteDance, merancang untuk melabur dalam kecerdasan pintar (AI) dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI di rantau ini dengan cadangan pelaburan kira-kira RM10 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi satu hantaran di laman web X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) berkata perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan beliau dengan Naib Presiden TikTok Helena Lersch di Singapura, hari ini.

“Pelaburan tambahan ByteDance ini sudah pasti akan membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengembangkan ekonomi digital kepada 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025,” katanya.

Setakat ini, Tengku Zafrul berkata, TikTok melalui ByteDance System telah membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor.

Menurutnya, mengambil kira keperluan masa depan syarikat berkenaan turut berhasrat untuk mengembangkan fasiliti pusat datanya dengan pelaburan tambahan RM1.5 bilion.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Khazanah Buka Permohonan Kohort Kedua Program Pengurus Dana

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan anak syarikatnya, Jelawang Capital mengumumkan pembukaan permohonan untuk kohort kedua Program Pengurus Dana Baharu Muncul (EMP).

Ia mencerminkan komitmen berterusan Khazanah, melalui Dana Impak, untuk memangkinkan ekosistem modal teroka (VC) dan syarikat baharu Malaysia dalam memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata pihaknya mempelawa permohonan untuk kohort kedua EMP 2026, yang kini dipertingkatkan dengan penyerahan sepanjang tahun.

Beliau berkata, sejak pemilihan tiga pengurus dana EMP pertama pada Jun 2025, pihaknya berbesar hati dengan kemajuan awal, termasuk menarik lebih RM30 juta daripada penyedia modal lain di luar komitmen Jelawang dan secara kolektif menggunakan lebih RM60 juta merentasi lebih 10 syarikat peringkat awal, yang kebanyakannya adalah syarikat baharu Malaysia.

Justeru, ia mencerminkan sumbangan EMP dalam menyokong pembangunan pengurus dana baru muncul dan ekosistem modal teroka domestik, katanya.

“Memperkukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia kekal sebagai komponen penting di bawah strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk tahun 2026.

“Melalui Dana Impak, kami kekal komited untuk membina ekosistem modal teroka yang lebih mendalam dan lebih bertenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai National Fund-of-Funds Malaysia, Jelawang Capital menyalurkan pelaburannya melalui pengurus dana VC di bawah EMP dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) yang menggunakan pendekatan programatik untuk memupuk dan mengukuhkan ekosistem VC.

EMP direka bentuk untuk menyokong generasi pengurus dana Malaysia yang akan datang melalui pengumpulan modal dan menginstitusikan pengurus dana.

Tiga pengurus dana EMP pertama dalam kohort pertama ialah Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move.

Kohort EMP yang akan datang memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk permintaan untuk cadangan (RFP) dan proses penyerahan yang diperkemas yang membolehkan permohonan sepanjang tahun, saiz dana minimum yang lebih rendah untuk strategi pra-benih dan benih, dan fleksibiliti yang lebih besar semasa fasa permohonan berhubung dengan kemajuan pengumpulan dana awal.

Khazanah dan Jelawang Capital mempelawa pengurus dana VC Malaysia layak yang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka untuk memohon EMP.

Inisiatif di bawah Dana Impak dan Jelawang Capital menyokong rangka kerja Ekonomi MADANI yang lebih luas dan membentuk sebahagian daripada komitmen RM1 bilion Khazanah kepada inisiatif GEAR-uP kerajaan untuk memacu ekosistem modal teroka Malaysia, memupuk usahawan pertumbuhan tinggi dan mengumpul modal dalam pengumpulan dana peringkat awal.