Demam Piala Dunia Bakal Suntik Hingga RM2.1 Bilion Kepada Sektor F&B Malaysia – Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Demam bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026 berupaya menyuntik antara RM1.2 bilion hingga RM2.1 bilion terutamanya dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, menurut seorang pakar ekonomi.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata ini kerana para peminat akan berkumpul di kedai mamak, kafe dan restoran untuk menonton perlawanan secara langsung.

Beliau berkata Piala Dunia bertindak sebagai rangsangan ekonomi berfrekuensi tinggi yang mengubah corak perbelanjaan pengguna untuk sementara waktu dan merancakkan aktiviti perniagaan merentas beberapa sektor.

“Piala Dunia FIFA sememangnya menjana aktiviti ekonomi yang bermakna, tetapi bersifat sementara di Malaysia. Ia merangsang perbelanjaan berbanding pelaburan dengan manfaatnya tertumpu kepada sektor-sektor khusus, terutamanya sektor F&B, peruncitan dan media,” katanya kepada Bernama.

Menyifatkan kejohanan itu sebagai rantaian ‘pesta perbelanjaan mini’ menjelang hari perlawanan, Barjoyai berkata perniagaan yang mampu menarik orang ramai dan mewujudkan pengalaman menonton secara komuniti bakal meraih manfaat yang paling besar.

Secara umumnya, Industri F&B Malaysia bernilai sekitar RM10 bilion hingga RM12 bilion sebulan dan boleh mencatatkan lonjakan hasil berdasarkan andaian yang paling asas kira-kira 12 peratus, sekali gus menjana tambahan RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion sepanjang tempoh kejohanan itu.

Jika berjaya mendapatkan penglibatan tinggi seperti jumlah tontonan yang besar dan inisiatif pemasaran yang berkesan, purata lonjakan boleh meningkat kepada 18 peratus, yang diterjemahkan kepada tambahan hasil sebanyak RM1.8 bilion hingga RM2.1 bilion.

Lonjakan itu dijangka bertumpu kepada ekonomi lewat malam antara 9 malam hingga 3 pagi, dipacu terutamanya oleh trafik pelanggan yang lebih tinggi.

“Kira-kira 40 peratus daripada perbelanjaan tambahan itu berpunca daripada aktiviti makan lewat malam, diikuti oleh perhimpunan berkumpulan sebanyak 30 peratus, permintaan penghantaran makanan sebanyak 20 peratus dan promosi berasaskan acara sebanyak 10 peratus,” kata pakar ekonomi itu.

Barjoyai berkata kedai mamak dan pengusaha restoran kasual berpotensi mencatatkan pertumbuhan hasil antara 15 hingga 30 peratus sepanjang kejohanan itu berikutan peningkatan kunjungan lewat malam dan aktiviti makan berkumpulan, manakala platform penghantaran makanan boleh menyaksikan pertumbuhan antara 15 hingga 35 peratus, disokong oleh tabiat menonton di rumah.

Beliau menambah restoran yang menyediakan perkhidmatan secara pantas (QSR) dan pengusaha makanan segera mungkin mencatatkan peningkatan hasil antara 10 hingga 20 peratus disebabkan permintaan penghantaran yang lebih kuat.

Bagi kafe pula, ia dijangka merekodkan pertumbuhan lebih sederhana antara lima hingga 15 peratus memandangkan premis berkenaan secara amnya kurang menyiarkan perlawanan Piala Dunia berbanding segmen F&B yang lain.

Walaupun kejohanan itu dianjurkan oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, kegilaan sukan bola sepak di Malaysia dijangka memacu jumlah tontonan yang tinggi dan perbelanjaan pengguna sepanjang berlangsungnya pertandingan itu selama sebulan.

Dalam hal ini, mengambil contoh Di Rawang, Selangor, BCH Cafe merupakan antara premis makan kasual yang menjangkakan peningkatan kunjungan pelanggan sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.

Pemiliknya, Azlan Mat berkata penganjuran Piala Dunia sebelum ini secara konsisten telah menghasilkan kehadiran pelanggan dan perbelanjaan yang lebih tinggi di premisnya apabila menayangkan perlawanan menggunakan skrin besar untuk menarik peminat bola sepak.

“Pelanggan biasanya datang berkumpulan dan berada di sini sepanjang tempoh perlawanan. Mereka cenderung memesan makanan dan minuman beberapa kali sepanjang perlawanan berlangsung, jadi perbelanjaan bagi setiap meja secara amnya adalah lebih tinggi berbanding hari biasa,” tambahnya.

Tanpa mendedahkan angka sebenar, Azlan menganggarkan hasil kafe berkenaan boleh meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus sepanjang Piala Dunia, disokong oleh peningkatan trafik pelanggan dan waktu operasi yang lebih lama.

“Bagi kami (pemilik restoran), Piala Dunia bukan sekadar bola sepak. Ia menjadi satu peluang perniagaan yang membolehkan kafe seperti kami menarik pelanggan baharu dan menjana pendapatan tambahan selama beberapa minggu,” katanya.

Piala Dunia FIFA edisi ke-23 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, 2026, menampilkan penyertaan yang diperluas kepada 48 pasukan, meningkat daripada 32 pasukan pada edisi-edisi sebelum ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

AI, Pekerjaan Masa Depan dan RMK13: REHDA Institute Perkukuh Kerjasama Universiti-Industri

PETALING JAYA: Tinjauan REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026 mendapati terdapat jurang antara jangkaan pelajar dan penilaian majikan terhadap tahap kesiapsiagaan graduan memasuki alam pekerjaan, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah kemahiran yang diperlukan daripada graduan baharu.

Tinjauan tersebut mendapati 41.6% responden pelajar menganggap tempoh antara satu hingga tiga bulan sebagai jangka masa yang realistik untuk graduan baharu mula memberi sumbangan bernilai kepada sesebuah organisasi, berbanding hanya 2.9% responden majikan yang berpandangan sama.

Walaupun 62.0% pelajar berpendapat bahawa universiti telah menyediakan mereka dengan baik untuk memasuki alam pekerjaan, hanya 32.3% majikan bersetuju bahawa universiti tempatan menyediakan graduan secukupnya untuk menghadapi realiti sebenar di tempat kerja.

Tinjauan tersebut merupakan sebahagian daripada laporan rumusan penutup RIYI 2026 yang merangkumi maklum balas daripada pelajar dan graduan baharu dari 21 universiti di Malaysia serta majikan. Tinjauan bersasar ini memberi gambaran mengenai jangkaan graduan dan perspektif majikan, namun tidak bertujuan untuk mewakili keseluruhan populasi di peringkat nasional.

Maklum balas tersebut turut memberi gambaran mengenai isu tenaga kerja yang diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026–2030 (RMK13).

Pelan itu menggariskan keperluan supaya program pendidikan tinggi diselaraskan dengan keperluan industri, di samping meningkatkan penglibatan aktif industri dalam pembangunan bakat. RMK13 turut menyasarkan purata pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6% setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Laporan berkenaan dibentangkan kepada Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pada majlis penutup RIYI 2026 di Monash University Malaysia hari. Majlis itu turut menampilkan sesi Town Hall bertajuk “Advancing Malaysia’s ESG-Ready Built Environment: Connecting Government, Youth, Universities and Industry
under RMK13.”

Program RIYI menghimpunkan 50 pelajar daripada 15 universiti yang bekerjasama dengan RIYI, di samping pelajar daripada enam universiti lain, bersama pemimpin industri bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai jangkaan di tempat kerja, pembangunan kerjaya, kepimpinan serta kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

Foto berkumpulan penganjur, mentor dan mentee REHDA Institute Youth Initiative bersama Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, selepas penyampaian Laporan Rumusan RIYI 2026 “National Youth Talent & Employability Assessment” oleh Pengerusi REHDA Institute, Dato’ Jeffrey Ng Tiong Lip.

RMK13 turut mencadangkan pelaksanaan skim latihan industri berbayar secara wajib serta pembelajaran yang lebih berasaskan permintaan industri menerusi kerjasama antara universiti awam dan sektor swasta.

Program bimbingan RIYI pula memberi pelajar satu lagi bentuk pendedahan awal kepada industri, dengan peluang untuk mendapatkan perkongsian pengalaman daripada golongan profesional, menerima maklum balas mengenai perancangan kerjaya mereka serta memahami dengan lebih jelas jangkaan sebenar di tempat kerja.

Fokus RIYI adalah selari dengan cabaran yang dihadapi golongan muda Malaysia dalam peralihan daripada pendidikan ke alam pekerjaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 15 hingga 24 tahun berada pada 10.2% pada Jun 2026, berbanding kadar pengangguran nasional sebanyak 3.0%.

Pengerusi REHDA Institute, Dato’ Jeffrey Ng Tiong Lip berkata kerjasama yang lebih erat antara universiti dan industri diperlukan bagi memberi pendedahan lebih awal kepada pelajar mengenai realiti sebenar alam pekerjaan.

“Kelayakan universiti merupakan asas yang penting, namun golongan muda juga perlu memahami bagaimana sesebuah organisasi berfungsi, bagaimana keputusan dibuat dan apakah yang diharapkan oleh majikan
daripada mereka.

“Di sinilah RIYI memainkan peranan penting dengan mendekatkan pelajar kepada industri melalui penglibatan secara langsung dan bimbingan mentor, di samping membantu mereka membangunkan pertimbangan, daya tahan, kemahiran komunikasi dan kebolehsuaian yang diperlukan untuk membina kerjaya yang mampan,” katanya.

Ng berkata penglibatan bersama pemimpin industri turut memberi peluang kepada pelajar memahami pengalaman dan realiti di tempat kerja yang tidak dapat dipelajari melalui buku teks, sekali gus membantu mereka memahami perkara yang diperlukan untuk berkembang daripada seorang graduan baharu kepada pemimpin
masa hadapan.

Laporan RIYI turut mengetengahkan kesan AI terhadap peluang pekerjaan peringkat permulaan. Walaupun 76.4% responden pelajar menyatakan mereka menggunakan alat AI secara kerap, 50.0% majikan yang ditinjau menjangkakan AI akan mengurangkan jumlah jawatan peringkat permulaan yang mereka tawarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa selain kemahiran digital, graduan juga perlu membangunkan pertimbangan praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan kebolehsuaian.

RMK13 meletakkan AI dan pendigitalan sebagai antara teras peralihan ekonomi Malaysia serta menggariskan keperluan kerjasama antara sektor awam, industri dan akademia bagi melengkapkan bakat dengan kemahiran teknologi termaju.

Tinjauan tersebut menemukan persamaan pandangan antara pelajar dan majikan dalam aspek pembangunan kerjaya. Sebanyak 79.4% majikan bersedia menyediakan latihan berkualiti yang berstruktur serta laluan kerjaya yang jelas sebagai pertukaran kepada komitmen pekerja untuk kekal bersama organisasi bagi tempoh yang dipersetujui, manakala 67.6% pelajar bersedia menerima pengaturan sedemikian.

Ketelusan gaji dan pengekalan bakat turut dikenal pasti sebagai antara isu yang diberi perhatian. Dalam kalangan responden, 82.4% pelajar dan 58.3% majikan menyokong pendedahan julat gaji secara wajib dalam iklan pekerjaan, manakala 57.1% pelajar menyatakan mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan akan bekerja di luar negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tinjauan berkaitan gaji dan pengekalan bakat itu turut berkait dengan agenda pasaran buruh di bawah RMK13. Pelan tersebut menyasarkan peningkatan bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 40% menjelang 2030 serta menggariskan langkah untuk menentukan gaji permulaan graduan dan melaksanakan Dasar Gaji Progresif.

Laporan RIYI menambah perspektif pelajar dan majikan mengenai ketelusan gaji serta perkembangan kerjaya kepada perbincangan yang lebih luas ini.

Bagi tenaga kerja dalam sektor hartanah dan persekitaran binaan Malaysia, RMK13 menggariskan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) secara lebih meluas, khususnya dalam pembangunan perumahan mampu milik, selain menggalakkan pemaju mendapatkan pensijilan Green Building Index (GBI).

Keutamaan ini menunjukkan peningkatan keperluan terhadap tenaga profesional yang mampu mengaplikasikan teknologi dan prinsip kemampanan dalam pembangunan projek. RIYI memberi peluang kepada golongan muda untuk berinteraksi secara langsung dengan industri yang akan memainkan peranan dalam melaksanakan keutamaan tersebut.

Sesi akhir RIYI yang bertemakan “Climbing the Career Ladder in the AI Era” membincangkan kesan AI terhadap jawatan peringkat permulaan, produktiviti, proses membuat keputusan serta keupayaan yang diperlukan daripada pemimpin masa hadapan.

Para peserta turut mengikuti klinik AI-Augmented Judgment and Strategic Value serta Leadership Influence and Stakeholder Management sebelum membentangkan Three-Year Career Mastery Blueprint masing-masing untuk mendapatkan maklum balas daripada mentor industri.

Program tersebut diakhiri dengan kelas induk rundingan dan pengaruh yang merangkumi komunikasi di tempat kerja, pengurusan tarikh akhir, perkembangan kerjaya, perbincangan mengenai gaji serta pengurusan
jangkaan profesional.

RIYI 2026 menghimpunkan pelajar daripada lebih 21 universiti di seluruh Malaysia, sekali gus mencerminkan kepelbagaian institusi pendidikan tinggi negara. Antara universiti yang diwakili ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), INTI International College, HELP University, UCSI University, University of Wollongong Malaysia (UOW Malaysia), Taylor’s University, Monash University Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),Sunway University, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), International Islamic University Malaysia (IIUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

REHDA Institute menyasarkan untuk membangunkan RIYI sebagai platform jangka panjang yang menghubungkan universiti, majikan dan bakat muda, di samping membawa perspektif industri dalam usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan serta pembangunan tenaga kerja masa hadapan Malaysia.