Empat Gergasi Infrastruktur Berentap Bida Kontrak LRT Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Persaingan bagi pakej sistem projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai kira-kira RM3 bilion semakin sengit apabila keputusan penganugerahan kontrak itu sekali lagi ditangguhkan sehingga Jun 2026.

Penganalisis CIMB Securities, Kenny Mak Hoy Ken, berkata penangguhan itu dilaporkan susulan proses penilaian yang berterusan serta tahap persaingan yang tinggi dalam kalangan pembida, selepas syor awal dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Januari lalu.

Beliau berkata, pakej sistem yang merangkumi penyediaan tren, sistem isyarat serta kerja landasan itu adalah antara komponen utama dalam keseluruhan projek LRT Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai antara RM13 bilion hingga RM16 bilion.

“Penangguhan selama tiga bulan ini adalah lanjutan terkini dalam beberapa siri penangguhan sebelum ini, mencerminkan penelitian rapi pihak berkuasa terhadap setiap bidaan yang dikemukakan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurut laporan, daripada tujuh pembida asal, hanya empat yang masih kekal dalam persaingan bagi pakej berkenaan iaitu Gamuda Bhd, YTL Corporation Bhd, usaha sama antara WCT Holdings Bhd dan Lion Pacific serta MMC Corporation Bhd.

Gamuda dilaporkan bekerjasama dengan CRRC serta syarikat isyarat dari China, manakala YTL dan usaha sama WCT-Lion Pacific masing-masing berganding dengan Siemens bagi sistem isyarat serta CRRC untuk tren. Sementara itu, MMC pula menjalin kerjasama dengan Hitachi dan Hyundai Rotem.

Dalam pada itu, Kenny berkata Gamuda kekal sebagai pilihan utama dalam sektor pembinaan berikutan pengalaman luasnya dalam projek rel metro di dalam dan luar negara, selain kedudukan kewangan yang kukuh.

“Bagaimanapun, persaingan sengit membuka kemungkinan lebih daripada satu pemenang bagi pakej ini, sekali gus menjadi antara faktor ketidaktentuan utama,” katanya.

Sementara itu, perkembangan projek LRT Pulau Pinang termasuk sambungan rentas selat ke Komtar dijangka memberi limpahan manfaat kepada pembangunan hartanah, khususnya potensi tanah milik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di kawasan Penang Sentral.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.