Felda, FGV Teroka Semula Peranan Minyak Sawit, Ubah Sisa Kepada Kekayaan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd sedang meneroka semula peranan minyak sawit dalam ekonomi masa depan Malaysia, dipacu kecanggihan teknologi, dengan menilai produk sampingan minyak sawit sebagai sumber strategik dan bukan lagi sisa tradisional.

Pengarah Kumpulan, Bahagian Perladangan FGV, Izham Mustaffa berkata peranan pihaknya melangkaui operasi perladangan dengan menekankan bahawa fungsi teras FGV menyumbang kepada pembinaan negara melalui sektor pertanian.

“Pemodenan pertanian, melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik penting untuk menjamin kerelevanan pada masa depan dan peningkatan sektor ini, Bagaimanapun, untuk melonjakkan nilai, kita mesti mengubah pemikiran asas.

“Sisa bukan lagi isu pelupusan sebaliknya satu sumber dan bahan mentah yang kita boleh manfaatkan,” katanya ketika berucap pada seminar bertajuk “Waste to Wealth: Opportunities in Green Energy and Circular Economy” bagi Program Jawatankuasa Penasihat 2026, secara dalam talian hari ini.

Izham berkata justeru, pertama sekali, syarikat perladangan dan komoditi itu menumpukan kepada pembangunan tanah bagi memastikan tanah digunakan secara produktif, cekap dan mampan untuk menjana nilai sosioekonomi jangka masa panjang.

Kemajuan sosioekonomi juga merupakan keutamaan penting, dengan operasi menyumbang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk komuniti yang lebih kukuh, katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengubah biojisim kepada tenaga hijau, yang semakin penting susulan ketidaktentuan global.

“Biojisim mesti dilihat sebagai satu sistem, bukan sebagai produk sampingan atau sisa. Kita boleh mengguna pakai model ‘Hab dan Jejari, dengan ladang dan komuniti berperanan sebagai nod bekalan manakala hab pemprosesan berpusat memastikan kualiti dan kecekapan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.