IBM Malaysia Memuji Belanjawan 2023 Kerana Realistik Dengan Fakta Yang Sukar Bagi Merangsang Ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) – IBM Malaysia Sdn Bhd memuji kerajaan kerana sanggup mengambil risiko dengan melakukan “sesuatu yang susah” dan “realistik dengan fakta yang sukar” apabila membentangkan semula Belanjawan 2023.

Pengarah Urusan Catherine Lian berkata Belanjawan 2023 telah menetapkan laluan untuk pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia sambil menangani ketirisan bagi merangsang produktiviti yang lebih besar untuk negara.

“Dengan 12 usaha utama berdasarkan tiga penetapan — memacu ekonomi inklusif dan mampan; reformasi institusi dan tadbir urus untuk memulihkan keyakinan; dan keadilan sosial untuk jurang sederhana, Belanjawan 2023 mencerminkan realiti ekonomi dan politik selepas pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Belanjawan 2023 juga disifatkan sebagai belanjawan pengembangan dengan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion, terdiri daripada RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

“Pada asasnya, ia berdasarkan peraturan bahawa wang pembayar cukai perlu dibelanjakan untuk menangani pelbagai bidang dasar, daripada sistem sokongan sosial, inisiatif infrastruktur, pemodenan sektor awam dan yang lebih penting, pengurusan hasil,” katanya.

Lian berkata Belanjawan 2023 atau “Belanjawan MADANI” turut mengemukakan keutamaan dasar Kerajaan Perpaduan yang bergerak mengikut peredaran zaman sambil melihat ke hadapan untuk sektor awam, perniagaan dan rakyat.

Beliau berkata sebagai contoh, geran padanan RM50 juta untuk menggalakkan automasi dalam sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (AI) menunjukkan pendirian “digital pertama” Malaysia untuk sektor itu meningkatkan rantaian nilai sambil juga mewujudkan pekerjaan untuk pekerja mahir.

Lian berkata penggunaan AI dan robotik sepatutnya menyaksikan sektor perladangan mengubah dirinya untuk merealisasikan hasil dan produktiviti yang lebih tinggi sambil mengatasi permintaan yang semakin meningkat dan daya gangguan.

“Inovasi dalam bidang ini seperti ‘mendepani situasi secara langsung’ kerana industri pertanian menghadapi cabaran seperti peningkatan kos bekalan, kekurangan tenaga buruh, dan perubahan dalam keutamaan pengguna untuk ketelusan dan kemampanan,” katanya.

Pada akhirnya, IBM Malaysia berkata ia komited untuk memacu kerjasama merentas industri bagi membantu Malaysia merealisasikan nilai ekonomi digital yang disokong oleh awan hibrid dan AI sebagai dua kuasa dominan yang memacu transformasi digital.

IBM juga mendapat galakkan daripada Geran Pendigitalan PKS dengan Lian berkata bahawa adalah penting bagi kerajaan untuk terus mempromosikan penggunaan digital.

“Dengan PKS menjadi tunjang kepada ekonomi Malaysia, adalah lebih penting bahawa perniagaan melihat teknologi sebagai satu pelaburan dan bukannya kos.

“Teknologi membolehkan perniagaan ‘melakukan dengan lebih cekap’, mengoptimumkan dengan sewajarnya sambil turut membuka pasaran baharu dan aliran hasil dalam dunia hari ini yang semakin ‘tanpa sempadan,” kata Lian.

Sehubungan itu, beliau berkata PKS perlu melibatkan diri dengan rakan kongsi teknologi yang boleh memberi mereka akses kepada teknologi yang berkaitan dan juga membantu mereka menangani semua keperluan ini melalui proses dan alatan pengurusan serta amalan yang mantap.

Lian berkata peruntukan RM1 bilion untuk latihan di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) juga boleh membuktikan bahawa pentingnya dalam memastikan rakyat Malaysia terus meningkatkan kemahiran dan melatih semula diri mereka dengan pengetahuan dan kepakaran yang sesuai, lebih-lebih lagi dalam Ekonomi Digital hari ini, yang kini menyumbang 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka meningkat kepada 25.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025.

Beliau berkata pembaharuan struktur dan dasar yang meningkatkan promosi dan memudahkan pelaburan adalah penting untuk syarikat multinasional yang matang seperti IBM, yang telah berada di negara ini selama lebih 60 tahun.

Beliau menambah bagi membolehkan aktiviti bernilai tinggi mendarat di Malaysia, sokongan kerajaan perlu melangkaui insentif yang berasaskan fiskal/cukai tradisional.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.