Bukan Masa Sesuai Perkenalkan Semula GST Pada Masa Ini – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Kerajaan tidak menafikan potensi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai salah satu instrumen fiskal yang boleh memastikan kelestarian dan kemampanan kedudukan ekonomi negara pada masa depan. 

Kementerian Kewangan, bagaimanapun, berkata untuk memperkenalkan semula GST ketika ini adalah tidak sesuai kerana cabaran ekonomi yang dijangka dihadapi pada tahun ini iaitu kadar inflasi makanan yang agak tinggi dan kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

“Kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula GST. Sebarang perubahan dasar berkaitan cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” menurut kementerian itu dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang ingin tahu sama ada GST akan diperkenalkan semula atau tidak.

Berhubung inisiatif cukai yang akan diambil dalam masa terdekat, katanya kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan cadangan pengenaan cukai ke atas barangan mewah serta peluasan duti eksais ke atas produk berkaitan rokok elektronik dan vape pada tahun ini.

Di samping itu, katanya kerajaan akan mengkaji kesesuaian pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia mulai tahun 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pemilihan U Mobile Tingkat Saingan Sektor Telekomunikasi Malaysia – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara dilihat akan memberikan saingan yang lebih sihat dan merapatkan jurang antara pemain utama di negara ini, sekali gus mewujudkan landskap yang lebih saksama dalam sektor telekomunikasi negara.

Ketua Penyelidik Mercury Securities Toh Woo Kim berkata peralihan daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model rangkaian 5G kedua akan menyuntik persaingan yang ketara ke dalam pasaran.

Proses pemilihan U mobile melalui ketelusan yang tinggi akan bermanfaat untuk meraih keyakinan pasaran, kerana ia boleh membantu mengurangkan ketidaktentuan kawal selia dalam sektor telekomunikasi Malaysia, katanya.

“Ketidakpastian ini berkemungkinan berterusan sehingga pelabur mendapat lebih kejelasan mengenai pelancaran rangkaian 5G kedua, khususnya mengenai rakan kongsi berpotensi untuk U Mobile,” kata Toh ketika dihubungi Bernama.

Pada 1 November, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia.

Pengawal selia itu berkata ia telah menjalankan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi projek ini, bertujuan untuk memastikan manfaat penuh teknologi 5G sampai kepada orang ramai, industri dan negara.

Toh bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan U Mobile sebagai penyedia serta keupayaannya melaksanakan pembinaan rangkaian 5G kedua secara sendiri.

“Terdapat kemungkinan besar kerjasama itu akan dilaksanakan dengan CelcomDigi atau TM,” katanya.

Pada 2 November, U Mobile, sebagai respons kepada pengumuman itu, berkata ia teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk MCMC dan syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan termaju 5G bertaraf dunia kepada pengguna.

Sementara itu, Kenanga Investment berkata U Mobile dijangka menerajui pelancaran rangkaian baharu itu, dengan kemungkinan bekerjasama dengan MNO lain, sementara menunggu kelulusan MCMC.

“Kami percaya inisiatif ini mungkin berlanjutan daripada kerjasama U Mobile sebelum ini dengan CelcomDigi. Sebelum ini, pada Julai 2024, kedua-dua syarikat itu, bersama-sama dengan ZTE Corporation, berjaya menyiarkan siaran langsung pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh teknologi canggih 5G.

“Selain itu, U Mobile dan CelcomDigi turut mempunyai perjanjian kerjasama Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN), yang merangkumi 100 tapak MOCN di seluruh Malaysia, dengan setiap pihak menyumbang 50 tapak,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

— BERNAMA