Kawal Perbelanjaan Ke Luar Negara, Elak Implikasi Kewangan Tambahan – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah sentiasa mengambil langkah untuk mengawal perbelanjaan ke luar negara bagi mengelak implikasi kewangan tambahan, menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

MOF dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam berkata keperluan peruntukan tambahan bagi tujuan bertugas ke luar negara adalah tidak dipertimbangkan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata perbelanjaan bertugas ke luar negara hanya dibenarkan bagi urusan seperti mesyuarat/rundingan berjadual/berkala atau persidangan yang telah diluluskan dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting serta memberi impak yang signifikan kepada kepentingan negara.

“Selain itu, ia turut dibenarkan bagi mesyuarat dan persidangan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan pegawai pengawal digalakkan untuk melibatkan atau mewakilkan kehadiran ke mesyuarat atau persidangan tertentu kepada duta/Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran, tanpa penyertaan pegawai dari Malaysia ataupun penyertaan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, kekerapan perjalanan maksimum atas tugas rasmi ke luar negara yang dibenarkan dalam tempoh setahun adalah tiga kali bagi Ketua Setiausaha/ Timbalan Ketua Setiausaha/ Ketua Jabatan/ Ketua Agensi, manakala dua kali setahun bagi lain-lain pegawai.

Sementara itu, Asri berkata pembelian dan perolehan barangan serta bahan import bagi perolehan baharu tidak dibenarkan kecuali barangan tersebut tidak terdapat dari sumber tempatan dan keperluan memperolehinya melalui import benar-benar mendesak dan sangat penting.

“Bagaimanapun, kementerian/ jabatan/ agensi perlu mendapatkan kelulusan MOF terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, semua badan berkanun dan syarikat subsidiari hendaklah memberi keutamaan kepada pelaburan domestik.

“Sebarang pelaburan yang melibatkan pengaliran wang ke luar negara, tidak termasuk yang telah mempunyai komitmen, kontrak serta jadual pembayaran, hendaklah mendapat kelulusan MOF,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kawal-perbelanjaan-ke-luar-negara-elak-implikasi-kewangan-tambahan-mof/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Jamin Biodiesel B20 Selamat Digunakan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu berkaitan kesesuaian penggunaan biodiesel, khususnya B20, berikutan spesifikasi enjin kenderaan di negara ini telah menyokong bahan api tersebut sejak 2020.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

“Sebenarnya ada beberapa kawasan dalam negara telah menggunakan B20 iaitu sebagai contoh di Pulau Langkawi, Kedah; Labuan dan Sarawak kecuali di kawasan Bintulu. Ini bermaksud dalam tempoh yang sedang berlaku ini aduan ataupun kebimbangan itu sebenarnya belum sampai ke tahap ada kes yang kita boleh jadikan satu rujukan.

“Kerajaan telah mandatkan pada 2020 mengenai penggunaan enjin atau kenderaan pada tahap B20 bermaksud tempoh itu telah diberikan secukupnya kepada pihak industri termasuk kenderaan untuk membuat persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang oleokimia KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, di sini hari ini.

Sebelum ini, Akmal Nasrullah mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar.

Pada masa sama, beliau menegaskan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan.

Sementara itu, Noraini berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi menaik taraf empat depoh pengadunan minyak sawit.

Langkah itu, katanya, akan memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan sumber tenaga negara.

— Berita Harian