MSIA Sokong Keputusan Kerajaan Tangguh Syarat Nisbah Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan untuk menangguhkan syarat bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan ditempatkan dalam sebuah syarikat.

Ia sebagai respons kepada laporan berita bahawa kerajaan Malaysia akan menangguhkan selama dua tahun syarat bahawa syarikat pembuatan harus mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia sebelum mereka dibenarkan mengambil pekerja asing untuk industri semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E).

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata syarikat E&E di Malaysia lebih gemar mengambil rakyat Malaysia berbanding pekerja asing tetapi ada bekalan pekerja yang tidak mencukupi untuk pekerja yang khusus dalam beberapa pekerjaan di Malaysia walaupun dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum baru-baru ini.

“Industri E&E sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil pekerja tempatan dengan di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak termasuk mendapatkan bantuan ejen.

“Buat masa ini, industri E&E menggalakkan lepasan SPM untuk menyertai akademi anjuran industri tersebut di mana mereka menjalani latihan sambil bekerja selama 18 bulan dan kemudian diberi sijil juruteknik selepas berjaya menamatkan latihan itu,” katanya.

MSIA berkata industri semikonduktor dan E&E ialah penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan merupakan industri pertumbuhan utama kerana ia turut menerima peluang pelaburan paling banyak pada tahun 2021 dengan 94 projek diluluskan bernilai RM148 bilion yang akan mencipta sebanyak 28,362 peluang pekerjaan.

Pelaburan oleh syarikat E&E di Malaysia memberi petunjuk bahawa masih terdapat permintaan yang kukuh untuk semikonduktor di seluruh dunia dengan bekalan tidak memenuhi permintaan.

Syarikat mengembangkan kilang sedia ada dan/atau sedang membina kilang baharu untuk cuba memenuhi permintaan semikonduktor, cabaran kritikal yang dihadapi industri tersebut adalah kekurangan pekerja.

Kaji selidik yang dijalankan pada November 2021 yang terdiri daripada 80 ahlinya mendapati bahawa industri memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera apabila syarikat E&E mengembangkan kilang mereka atau menubuhkan kilang baharu.

MSIA menekankan kesan kekurangan tenaga kerja berada pada paras kritikal terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat di Malaysia kerana mereka juga kehilangan pekerja kepada syarikat multinasional yang menawarkan gaji lebih tinggi, akibatnya PKS tersebut terpaksa menolak tempahan baharu.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/msia-sokong-keputusan-kerajaan-tangguh-syarat-nisbah-tenaga-kerja/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA