Kerajaan Beri Tumpuan Kepada Dasar Sokong Perniagaan, Bank Akan Terus Bantu PKS Dalam Isu Pembayaran Balik – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Keputusan untuk memberikan moratorium atau sebaliknya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat bergantung kepada pertimbangan pihak bank sama ada PKS mampu membuat pembayaran balik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, kerajaan boleh menggalakkan dasar yang membantu rakyat, katanya sambil menyatakan harapan bank dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menyokong PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang benar-benar menghadapi kesukaran.

“Saya optimis, bersama-sama dengan Bank Negara, bahawa pertumbuhan (ekonomi) kita pada tahun ini akan mengatasi jangkaan kami, iaitu antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

“Kita berada di trajektori pertumbuhan, ekonomi sedang berkembang dan kita perlu menyokong syarikat yang masih memerlukan,” katanya pada sidang media di luar Persidangan Perbankan Malaysia 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh setakat ini, antaranya berikutan penggunaan domestik yang meningkat, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik, justeru, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi akibat pandemik mungkin bukan penyelesaian terbaik pada masa ini.

Beliau berkata sumber yang terhad perlu digunakan untuk membantu kumpulan sasar dan sokongan menyeluruh mungkin tidak mampan.

Katanya PKS dan PMKS telah menerima banyak bantuan daripada kerajaan seperti pembiayaan dengan moratorium dalam Bajet 2022 di bawah inisiatif Semarak Niaga.

Malah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) telah dilaporkan sebagai berkata bahawa satu lagi moratorium pinjaman hanya akan menambah masalah PKS.

Tengku Zafrul berkata bank mula memberi pinjaman lebih daripada paras sebelum pandemik, sambil menambah bahawa pembiayaan bersih sektor perbankan telah berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

“Pengeluaran sebenarnya telah mengatasi paras sebelum pandemik, ia meningkat kepada RM71 bilion pada suku kedua 2022 berbanding purata RM57 bilion pada 2017-2019. Bank masih memberikan pinjaman,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kerajaan-beri-tumpuan-kepada-dasar-sokong-perniagaan-bank-akan-terus-bantu-pks-dalam-isu-pembayaran-balik-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama