Peniaga Malaysia Yang Menyertai Shopee 9.9 Hari Pembelian Hebat Buat Kali Pertama Capai Lebih 5 Kali Ganda Peningkatan Jualan

KUALA LUMPUR, 12 September 2022 – Shopee terus menawarkan lebih nilai dan keseronokan untuk para pembeli dan penjual sepanjang 9.9 Hari Pembelian Hebat. Permulaan musim Jualan Akhir Tahun disempurnakan dengan jayanya, dengan penjual tempatan di Malaysia yang mengambil bahagian dalam 9.9 Hari Pembelian Hebat buat kali pertama mencapai purata peningkatan jualan sebanyak lebih daripada 5 kali ganda pada 9 September, berbanding hari biasa.

Kesihatan dan Kecantikan, Kelengkapan Rumah dan Kehidupan serta Barangan Mudah Alih dan Aksesori muncul sebagai kategori paling popular semasa hari kemuncak festival membeli-belah tersebut.

Menariknya, walaupun dengan pengumuman baru-baru ini bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam bangunan kecuali dalam situasi tertentu, pelitup muka masih merupakan salah satu produk yang paling banyak dibeli pada 9 September. Makanan dan snek untuk kucing serta produk penyimpanan seperti kotak lipat, kotak kek dan beg kertas turut popular dalam kalangan pengguna. Barangan penyimpanan ini mungkin adalah tanda bahawa para penjual tempatan sedang membuat persiapan untuk pesanan yang bakal diterima dalam beberapa bulan akan datang.

Mereka yang tinggal di Johor Bahru, Kinta, Seremban, Melaka Tengah, Kuching serta Kota Bharu banyak membuat pembelian pada 9 September. Lokasi-lokasi ini mencatatkan jumlah pesanan tertinggi di negara ini, di luar Lembah Klang.

Sementara itu, penstriman langsung terus memberikan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dan bersifat interaktif kepada pengguna. Dalam tempoh kempen dari 26 Ogos hingga 9 September, rakyat Malaysia menghabiskan lebih 2 juta jam untuk menonton strim di Shopee Live. Mereka juga berseronok sambil membeli-belah, dengan Shopee Prizes dimainkan sebanyak lebih 24 juta kali dalam tempoh yang sama. ShopeePay turut merupakan kaedah pembayaran pilihan oleh pengguna apabila membeli barangan di Shopee semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat. Dalam tempoh dua jam pertama pada 9 September, peningkatan sebanyak 9 kali ganda direkodkan untuk pesanan yang dibayar menggunakan ShopeePay, berbanding hari biasa pada tahun sebelumnya. Dalam tempoh dua tahun sejak pandemik berlaku, para pengguna berkemungkinan lebih terbiasa membayar menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti ShopeePay untuk menikmati kemudahan penggunaan serta nilai dari segi ganjaran.

ShopeeFood sejak bermula pada bulan November 2021 telah membantu ramai pengguna untuk berhubung dengan peniaga besar mahupun kecil melalui platform bersepadu yang disediakan oleh Shopee. Peniaga mikro terutamanya mendapat manfaat besar daripada ekosistem tersebut. Ini kerana platform tersebut membantu para peniaga mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh pasca pandemik, dengan menghubungkan mereka kepada pangkalan pengguna dalam talian yang luas di aplikasi mudah alih Shopee.

Ini terbukti berdasarkan Hidangan Popular yang dipesan oleh para pengguna semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat. Di semua lima lokasi (Kuala Lumpur/Putrajaya, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Ipoh), kebanyakan pengguna memanfaatkan diskaun dan promosi hebat untuk memesan makanan tempatan kegemaran mereka seperti Roti Canai, Sate dan Nasi Ayam Penyet. Selain menyokong peniaga makanan dan minuman tempatan, mereka juga banyak memesan hidangan seperti Strawberry Chocolate Chip Almond Milk Frappe, Sushi, Matcha Boba Tea dan bahan makanan berasaskan Pasta.

Kenneth Soh, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam membantu penjual tempatan di platform kami mencapai tahap peningkatan jualan yang signifikan semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat. Kami dapat menyaksikan bahawa alat pemasaran dan ciri penglibatan penjual (seller engagement features) kami memperkasakan PMKS untuk menerokai peluang pertumbuhan dalam ekonomi digital. Shopee berasa teruja untuk terus meningkatkan jualan mereka semasa tempoh akhir tahun, sambil membolehkan rakyat Malaysia menikmati penjimatan terbaik di platform kami.”

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.