Kerajaan Terima Kira-kira RM20.71 Bilion Penyelesaian Tunai IMDB Sehingga Kini – MOF

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kini telah mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah US$3.9 bilion (RM16.48 billion), AmBank Group (RM2.83 bilion) dan JP Morgan (Switzerland) Ltd sebanyak RM1.4 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kesemua hasil penyelesaian tunai daripada ketiga-tiga institusi kewangan berkenaan telah diterima sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kendalian MOF.

“Pada 11 Okt 2023, Goldman Sachs Group Inc. telah memfailkan suatu Permohonan Timbang Tara di London Court of International Arbitration (LCIA) terhadap Kerajaan Malaysia yang berbangkit daripada pertikaian berkaitan obligasi pihak-pihak di bawah Perjanjian Penyelesaian yang telah dimeterai pada 18 Ogos 2020 oleh Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group Inc. (Prosiding Timbang Tara).

“Pada masa ini, Pasukan Perundangan Kerajaan Malaysia yang terdiri antara lain, daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam- peguam Inggeris yang dilantik sedang mengendalikan Prosiding Timbang Tara tersebut.

“Memandangkan pihak-pihak dalam Prosiding Timbang Tara ini adalah terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ketat, maka sebarang maklumat terperinci berhubung Prosiding Timbang Tara ini tidak dapat didedahkan pada masa ini,” menurut kementerian.

Kementerian menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status pemulihan aset dalam skandal 1MDB.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA