IJM Land Membawa Keriangan Deepavali Kepada Enam Keluarga Kurang Bernasib Baik Di Seremban

SEREMBAN, 13 OKTOBER 2025 Menjelang sambutan Deepavali, IJM Land Seremban 2 sekali lagi menzahirkan komitmennya  terhadap kebajikan masyarakat melalui Program Deepavali Charity Cheer tahunannya dengan menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan perayaan kepada enam keluarga kurang bernasib baik di Seremban.  Memasuki tahun kelapan penganjurannya, setiap keluarga terpilih menerima sumbangan berupa sampul bernilai RM1,000 serta barangan runcit bernilai RM600, sebagai sokongan bermakna agar mereka dapat meraikan Deepavali dengan penuh martabat dan kegembiraan.

Program Deepavali Charity Cheer pada tahun ini lebih istimewa kerana ia bertepatan dengan tema ulang tahun ke-30 Seremban 2, iaitu “30 Years of Connecting Lives, Shaping Futures”. Sebagai salah satu inisiatif IJM Land Seremban 2 sejak sekian lama, program ini menjadi simbol komitmen berterusan pemaju dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat. Selain meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan, inisiatif ini turut mencerminkan semangat kisah dan belas kasihan yang telah membentuk perjalanan Seremban 2 sepanjang tiga dekad.

Datuk Chai Kian Soon, Ketua Pegawai Operasi IJM Land Berhad, menegaskan bahawa program ini membawa makna yang lebih besar sempena ulang tahun ke-30 Seremban 2 kerana ia mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam merealisasikan visi “Bringing Life to Ordinary Spaces”.

“Deepavali melambangkan harapan dan pembaharuan. Namun, bagi keluarga yang menghadapi kesusahan, kegembiraan perayaan ini sering sukar dirasai. Melalui inisiatif ini, kami ingin mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan — bahawa komuniti sentiasa bersama mereka, berkongsi semangat kebersamaan dan sokongan,” kata Datuk Chai.

“Sambil meraikan ulang tahun ke-30 Seremban 2, program ini membawa makna yang lebih mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa kejayaan sebenar sepanjang tiga dekad ini bukan hanya berlandaskan pembangunan kediaman yang terbinanya, tetapi juga pada pembentukan sebuah komuniti yang penuh keprihatinan, saling menyokong, dan sentiasa bersama dalam suka duka.”

Antara penerima bantuan pada tahun ini ialah Puan Hemamalini a/p Mariaatan, 46, yang bekerja sambilan sebagai pembantu di sebuah kedai buku sekolah dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan. Bagi menambah pendapatan, beliau turut melakukan kerja pembersihan dengan bayaran RM20 sejam. Suaminya, Jejadesh a/l Superma, tidak lagi mampu bekerja selepas diserang strok empat tahun lalu yang menjejaskan sebahagian besar pergerakannya. Kini, keluarga ini bergantung kepada bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM300 serta sokongan daripada MyKasih. Dengan dua anak kecil yang masih bersekolah di SJK(T) Convent — Marvinn, 10 tahun, dan Thurgashinya, 7 tahun — mereka berdepan cabaran besar untuk menampung kos harian, termasuk perbelanjaan pengangkutan dan keperluan persekolahan.

Program ini turut membawa sinar harapan kepada Puan Rathnewari a/p Ramesh, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Tuanku Ja’afar dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan. Walaupun gigih berusaha, sebahagian besar pendapatannya digunakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga serta bayaran motosikal — satu-satunya kenderaan utama ke tempat kerja. Empat tahun lalu, Rathnewari berdepan kehilangan besar apabila suami pertamanya terkorban dalam kemalangan tragis. Kini, bersama suami keduanya, Sarandraj a/l Darjan, mereka berusaha membesarkan dua anak perempuan kecil, Jayanesan, 8 tahun dan Jayesyalini, 7 tahun. Namun, Sarandraj hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM50 hingga RM70 sehari melalui kerja sambilan, sementara kecederaan kaki akibat kemalangan menyukarkannya mendapatkan pekerjaan tetap. Keluarga ini menerima bantuan BR1M dan bantuan bulanan MyKasih, selain sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka. Kedua-dua anak telah mendapat  ‘Bantuan Awal Persekolahan’ bernilai RM150 seorang, manakala hanya anak sulung layak menerima RMT (Rancangan Makanan Tambahan) ketika ini, sementara permohonan untuk anak bongsu masih dalam proses. Walaupun hidup dalam kesempitan, Rathnewari tetap tabah demi memastikan anak-anaknya membesar dalam suasana lebih stabil, penuh kasih sayang, dan memiliki peluang masa depan yang lebih cerah.

“Sebagai peneraju pembangunan komuniti, tanggungjawab kami bukan sekadar membina rumah dan perbandaran — ia juga tentang membina kehidupan serta mengukuhkan ikatan kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” ujar Datuk Chai.

“Program ini mencerminkan keyakinan kami bahawa komuniti yang kukuh saling menyokong antara satu sama lain, khususnya ketika musim perayaan. Menerusi inisiatif ini, kami berharap dapat menginspirasikan orang ramai untuk menghayati semangat memberi serta menjadikan sambutan lebih bermakna untuk semua.”

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, sila layari  http://seremban2.ijmland.com/.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.