Ringgit Berada Pada Kedudukan Pertama Selepas Langkah Koordinasi Kerajaan, BNM Dilaksana – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Ringgit berada pada kedudukan pertama berbanding sembilan negara serantau lain selepas langkah-langkah koordinasi antara kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaksanakan pada Februari lepas. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Jawatankuasa Pasaran Kewangan, BNM pada 1 Mac lepas menyatakan terdapat kesan yang serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadap ringgit.

“Kerajaan komited dalam memastikan prestasi nilai ringgit berada pada tahap lebih baik dan mengukuh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi dasar jangka pendek untuk menguruskan rintangan ekonomi bagi mendepani kejatuhan nilai ringgit.

Katanya antara langkah segera yang telah diambil ialah BNM sentiasa memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri kekal teratur dan mengekalkan kestabilan kewangan.

“BNM juga terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan,” katanya.

Selain itu, katanya BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian eksport supaya kebergantungan kepada dolar Amerika dapat dikurangkan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan dan BNM juga telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing.

“Antaranya termasuklah menggalakkan GLIC dan GLC membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” katanya. 

Amir Hamzah berkata kerajaan turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit — ini termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik dan menangguhkan pelaburan luar negara baharu.

“Pelaburan luar negara perlulah diurus secara berhemat seperti melindungi nilai pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara,” katanya. 

Selain langkah-langkah bersama BNM, katanya kerajaan juga menumpukan usaha pembaharuan ekonomi yang secara tidak langsung akan mengukuhkan prestasi ekonomi dan mata wang ringgit.

“Kerajaan telah memperkenalkan kerangka Ekonomi MADANI, dengan tonggak utama adalah untuk menstrukturkan semula ekonomi supaya muncul sebagai peneraju Asia.

“Ekonomi MADANI menumpukan usaha memastikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing,” katanya.

Dalam menangani isu nilai ringgit, katanya semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing dan rakyat Malaysia diharap mengamalkan sikap ‘Malaysia First’ sebagai pengguna harian.

“Belilah barangan dan perkhidmatan Malaysia serta melaburlah dalam unit amanah dan pelaburan lindung domestik,” katanya.

Beliau berkata kempen melancong dalam negara dan beli barangan tempatan terus ditingkatkan kerana ia membantu memperkukuh nilai ringgit dan menambah baik prestasi ekonomi.

 Bagi menggalakkan kemasukan pelancong luar negara, katanya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah antaranya mengecualikan visa selama 30 hari untuk warganegara Cina dan India mulai Disember 2023.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA