Konflik Asia Barat: Bank Dunia Gariskan Tiga Bidang Untuk Malaysia Perkukuh Kedudukan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Bank Dunia menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan ekonominya dalam jangka masa panjang di tengah-tengah cabaran global semasa yang timbul daripada konflik di Asia Barat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata kerajaan perlu menggunakan krisis ini untuk “merebut beberapa peluang” yang timbul daripada persekitaran semasa, sambil terus menguruskan tekanan dengan segera.

“Perkara pertama, percepatkan peralihan tenaga pintar,” kata beliau sambil menekankan bahawa usaha itu harus melangkaui kenderaan elektrik dengan merangkumi tenaga boleh baharu dan penyimpanan, jika tidak, ia hanya beralih sedikit daripada minyak kepada elektrik.

“Yang kedua, Malaysia boleh menjadi hab pelancongan serantau dengan menambah infrastruktur, kesalinghubungan dan kedudukan yang diperlukan untuk menyokong aspirasi itu,” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 9 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara ketiga ialah Malaysia perlu menempatkan dirinya untuk menarik aliran modal dan membangunkan pengurusan kekayaan yang mana ia memerlukan penambahbaikan dalam infrastruktur kewangan.

Bidang-bidang itu mewakili peluang jangka panjang yang boleh dibangunkan oleh Malaysia, walaupun kerajaan menumpukan perhatian kepada menguruskan kesan segera yang tercetus daripada ketidaktentuan global, tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama