KWSP Berada Di Landasan Bagi Agihan Dividen Lebih Tinggi – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di landasan untuk mengagihkan dividen yang lebih tinggi kepada kalangan ahlinya apabila merekodkan pertumbuhan dua digit dari segi pendapatan pelaburan, kata ahli ekonomi.

KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2025, peningkatan 11 peratus daripada RM57.57 bilion dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2025 berjumlah RM25.07 bilion, mewakili kenaikan 27 peratus daripada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024.

Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan pada suku ketiga 2025, menyumbang RM16.95 bilion atau 68 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan pendapatan pelaburan itu menunjukkan strategi pelaburan KWSP khususnya pempelbagaian kelas aset dan pendedahan geografi.

“Berasaskan pendapatan pelaburan yang lebih baik itu, KWSP boleh memanfaatkan ketidaktentuan pasaran dengan berkesan.

“Ini memerlukan kemahiran dan disiplin memandangkan kejutan pasaran pada awal April 2025 akibat tarif “Hari Pembebasan” yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dengan mudah boleh mengubah minat risiko kepada strategi defensif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata masa dan kualiti keputusan pelaburan KWSP berperanan penting dalam menentukan nilai pelaburan.

“Perkara itu juga menunjukkan KWSP mendapat nasihat yang baik daripada penyelidikan pelaburan dan pengurus dananya yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata bagaimanapun, risiko negatif dalam pelaburan adalah masih jelas bagi KWSP, terutama penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) kerana pembetulan harga boleh menjejaskan prestasi pelaburan global.

“Selain itu, tempoh bagi pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada Disember 2025 kekal sebagai risiko negatif bagi KWSP.

“Jadi prestasi suku keempat akan menjadi faktor utama yang menentukan kadar dividen yang boleh diumumkan tahun depan,” katanya.

Pada 1 Mac, 2025, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah bayaran RM63.05 bilion manakala 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan bayaran berjumlah RM10.19 bilion.

Perkara itu menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen bagi 2024 adalah RM73.24 bilion, yang memberikan manfaat kepada lebih 16 juta ahli.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.