Malaysia Akan Hantar Pegawai Ke Washington Bincang Tarif Pada Akhir April

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) — Putrajaya akan menghantar pegawainya ke Washington untuk memulakan proses dialog dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kemudian mengesahkan delegasi Malaysia akan berlepas ke Washington pada akhir April ini.

Anwar berkata “ini adalah sebahagian daripada diplomasi perbincangan secara baik kita, kita akan menghantar pegawai kita ke Washington untuk memulakan proses dialog. Mungkin agak terbatas untuk penilaian semua, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan dengan pelaksanaan dasar.”

“Dalam pada itu, Malaysia akan menyesuaikan diri, seperti yang selalu kita lakukan. Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak akan hanyut. Strategi kepelbagaian perdagangan kita sudahpun semakin meningkat,” kata beliau

Walaupun Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, namun dalam masa yang sama kerajaan akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga kepentingan ekonominya, katanya Perdana Menteri menerusi ucapan beliau pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025  bertajuk: “ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum.”

“Ini termasuk melibatkan diri secara proaktif dengan AS bagi mencapai hasil saling menguntungkan dan pada masa yang sama, mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan kita dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Timur Tengah dan Afrika,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perdagangan Malaysia dengan AS telah lama menjadi model saling memberi manfaat bersama. 

“Eksport kita bukan sahaja menyokong pertumbuhan di sini tetapi pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh AS. Hubungan komersial ini telah memberi manfaat yang baik kepada kedua-dua negara tetapi langkah-langkah ini mungkin akan memudaratkan semua,” kata beliau.

Sementara itu Amir Hamzah yang turut sependapat dengan Perdana Menteri berkata perbincangan secara berhemah perlu dilaksanakan dengan AS untuk memahami lebih baik tentang isu tarif tersebut.

Ditanya sama ada Malaysia panik dengan situasi tersebut beliau secara berseloroh menjawab:” Tidaklah. Kita tenang-tenang saja.”

Amir Hamzah berkata walaupun tindak balas (tarif) tersebut mengejutkan, Malaysia mengambil pendekatan berhemah dan tidak beremosi dalam menghadapi situasi tersebut.

“Dengan itu, kita akan pergi ke AS untuk berbincang secara baik dan untuk menggalakkan kefahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, selain mencari jalan untuk mendapatkan outcome (hasil) yang lebih baik dari apa yang kita ada sekarang.

“Buat masa sekarang kita jangan panik, jangan tergopoh-gopoh. Kita buat cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Menteri: Dasar Makro Struktural ASEAN: Pembaharuan Berbanding Langkah-Langkah Peluasan.

— BERNAMA

TAG: Malaysia, ASEAN, Anwar Ibrahim, AS, tarif, Washington

Previous ArticleNext Article

Harga Barang Dijangka Terkawal Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR: Harga barang di Malaysia dijangka kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini seandainya kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata bagi separuh kedua tahun ini, harga barang dijangka masih terkawal tetapi berisiko meningkat secara berperingkat, terutama jika harga tenaga dan kos logistik terus meningkat.

Beliau berkata, tekanan inflasi mungkin lebih ketara dalam kategori makanan dan pengangkutan, namun langkah kerajaan seperti kawalan harga bersasar serta subsidi terpilih boleh membantu mengekang kenaikan mendadak.

“Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal dalam julat terkawal, tetapi dengan risiko ke arah kenaikan,” katanya kepada BH.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, pula berkata pihaknya masih menjangkakan harga barangan kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, walaupun konflik di Asia Barat meningkatkan risiko kos import, kesannya dijangka terhad sekiranya kenaikan harga minyak hanya bersifat sementara.

Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada membantu mengurangkan kesan langsung kepada pengguna, manakala sebarang peningkatan kos pengangkutan dan logistik lazimnya mengambil masa sebelum dipindahkan kepada harga pengguna.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengawal inflasi tolakan kos, termasuk penyasaran subsidi, pemantauan harga barangan keperluan serta usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, dijangka terus membantu mengekang tekanan inflasi.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan unjuran inflasi sekitar 2.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peralihan kepada pasaran seperti perdagangan dan pelaburan yang menghala ke arah BRICS dan Eropah Timur perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan komuniti perniagaan serta perundangan dapat diselarikan bagi memudahkan jalinan hubungan diplomatik dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya harga bahan api kembali meningkat, maka terdapat kemungkinan kadar inflasi juga meningkat memandangkan tidak semua sektor ekonomi mendapat subsidi bahan api.

Justeru, katanya, risiko inflasi yang meningkat adalah antara risiko makroekonomi yang boleh berlaku pada separuh kedua 2026.

— Berita Harian