Pelaburan Diluluskan Jan-Sept 2023 Antara Pencapaian Terbaik Malaysia Sepanjang 10 Tahun Lepas – Tengku Zafrul

Tajuk artikel telah dikemas kini.

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Jumlah nilai pelaburan yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini sebanyak RM225 bilion adalah antara pencapaian tertinggi dan terbaik Malaysia sepanjang 10 tahun lepas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pencapaian itu membuktikan daya tarikan berterusan Malaysia serta keyakinan pelabur terhadap negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan.

“Nisbah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga mencatatkan angka yang lebih kurang sama iaitu 56 peratus bagi FDI dan 44 peratus bagi DDI sepanjang sembilan bulan tahun ini,” katanya pada sidang media Pengumuman Kad Laporan MITI 2023 – Setahun Kerajaan MADANI di sini, pada Ranu.

Jumlah keseluruhan nilai pelaburan komited sepanjang misi pelaburan tahun ini sebanyak RM347 billion iaitu di China (RM170 bilion); Amerika Syarikat (APEC) (RM63 bilion); Abu Dhabi (RM40.6 bilion); Korea Selatan (RM24 bilion); Jepun (RM23.1 bilion); Singapura (RM13 bilion); Brunei (RM5 bilion); Amerika Syarikat (UNGA) (RM4.74 bilion); Itali (RM3.3 bilion); Indonesia (RM300 juta); dan Vietnam (RM5 juta).

Tengku Zafrul berkata aliran masuk pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi, yang disasarkan Malaysia daripada peserta global.

“MITI dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang sangat berdaya maju dan stabil untuk menarik lebih banyak pelaburan secara strategik daripada reka bentuk semula rantaian bekalan dalam landskap pelaburan global.

“Ini selaras dengan transformasi perindustrian seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 menjadi antara pencapaian yang membanggakan dalam tempoh sembilan bulan itu dengan nilai jualan berjumlah RM3.11 bilion, meningkat 24 peratus berbanding sasaran RM2.5 bilion, di samping mengetengahkan 44 negara pempamer.

Komitmen eksport dari misi perdagangan 2023 merekodkan nilai berjumlah RM13.39 bilion termasuk Korea Selatan (RM2.7 bilion); China (Beijing) (RM2.6 bilion); China (Nanning) (RM3.2 bilion); Hong Kong RM780 juta; Jepun (RM2.1 bilion); serta Amerika Syarikat (RM2.1 bilion). 

Selain itu, MITI kini berusaha untuk memasuki pasaran baharu yang lain seperti Ecuador, Nigeria, Tanzania, Puerto Rico dan Kyrgyzstan bagi memperluas pasaran eksport negara, katanya.

Mengulas lanjut mengenai keutamaan 2024, Tengku Zafrul berkata MITI akan menumpukan kepada usaha mempercepat proses pelaburan dan mencapai sasaran pelaburan ekonomi digital bernilai RM130 bilion pada 2025.

“Selain itu, fokus turut diberikan dalam usaha melengkapkan rasionalisasi agensi penggalakan pelaburan (IPA) pada tahun hadapan,” katanya. 

Dari segi perdagangan, beliau berkata MITI menyasarkan peningkatan sebanyak lima peratus bagi 2024 susulan unjuran Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) yang menunjukkan trend yang agak mencabar.

“Kita juga ingin membuka pasaran baharu termasuk di Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan,” katanya. 

Beliau berkata MITI akan memperhalus dan menambah baik beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang relevan dengan beberapa pihak, terutama dalam sektor digital dan teknologi hijau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.