Malaysia Rancang Kembangkan Eksport Kelapa Sawit Ke Mesir

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) — Kementerian Perladangan dan Komoditi merancang untuk menjadikan Mesir sebagai bahagian penting dalam mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia ke benua Afrika menerusi Zon Ekonomi Terusan Suez.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerjasama ekonomi dalam sektor sawit antara Malaysia dan Mesir telah dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Duta Mesir di Malaysia, Ragai Tawfik Nasir, pada Isnin di pejabatnya.

“Mesir merupakan negara yang strategik bagi industri sawit kita kerana hampir 90 peratus eksport Malaysia kepada Mesir adalah sawit.

“Mesir mempunyai populasi bilangan penduduk seramai lebih 110 juta orang,” katanya menerusi hantaran di X pada Selasa.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga sedang mengkaji perkongsian bagi strategi pemasaran produk sawit dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama peserta swasta di kedua-dua negara.

Di samping Malaysia mempunyai kekuatan eksport sawit ke negara itu, Mesir juga mempunyai potensi kedudukan geografi strategik iaitu menjadi pintu masuk untuk menghubungkan ke negara-negara Afrika Utara, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.