Malaysia Sedia Bantu Indonesia Tangani Inventori Minyak Sawit Yang Tinggi

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Malaysia bersedia membantu Indonesia dalam menangani inventori minyak sawitnya yang tinggi,  kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan untuk membantu Indonesia — pengeluar minyak sawit terbesar dunia — dalam mengurangkan stoknya.

“Sebagai ahli Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), kita perlu membantu antara satu sama lain,” katanya pada majlis penutupan Acara Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 malam tadi.

Menurut laporan berita, eksport minyak sawit Indonesia tidak kembali ke paras biasa walaupun larangan eksportnya ditarik balik pada 23 Mei, kerana syarikat dikehendaki menunjukkan bukti jualan domestik masing-masing sebelum boleh mendapatkan permit eksport mereka — satu langkah yang membawa kepada peningkatan stok dan seterusnya, kejatuhan harga.

Harga minyak sawit mula turun dengan ketara selepas Indonesia menarik balik larangan selama tiga minggu, diikuti dengan pengecualian levi eksport negara untuk semua produk minyak sawit dari 15 Julai hingga 31 Ogos 2022.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-sedia-bantu-indonesia-tangani-inventori-minyak-sawit-yang-tinggi/

Previous ArticleNext Article

BNM Pastikan Pasaran Kewangan Kekal Teratur Hadapi Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pasaran kewangan kekal teratur dan sistem kewangan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global melalui pemantauan pasaran yang berterusan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata BNM melaksanakan pelbagai rangka kerja pengurusan risiko yang menyeluruh bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara.

Katanya, pergerakan ringgit terus ditentukan oleh pasaran.

“BNM tidak menyasarkan sebarang paras nilai ringgit. Tumpuan BNM adalah untuk memastikan nilai ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur.

“BNM akan terus memantau keadaan pasaran pertukaran asing domestik dan sentiasa bersedia mengambil langkah yang sewajarnya sekiranya terdapat pergerakan mata wang yang tidak teratur,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai bentuk pengurusan risiko yang dilaksanakan BNM bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara dan apakah petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan oleh BNM bagi menilai kejayaan pengurusan risiko ini.

Bagaimanapun, MOF berkata kerajaan serta BNM juga mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing yang seterusnya dapat menstabilkan nilai ringgit.

“Ini termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten.

“BNM juga melaksanakan program syarikat pelabur pemastautin yang berkelayakan (QRI) pada Julai 2025 untuk terus menyokong aliran dana dua hala dalam pasaran tukaran asing,” katanya.

Menurut MOF, setakat 1 Mac, 2026, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding US dolar. Kadar kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ini merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan mata wang serantau.

“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus bagi 2025 dan 2.8 peratus setakat pertengahan Februari 2026,” katanya.
— BERNAMA