Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Kukuh Pada Suku Kedua Tahun Ini – PM Ismail Sabri

PETALING JAYA, 28 Julai (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun ini, disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi termasuk perdagangan yang meningkat sebanyak 43.4 peratus kepada paras tertinggi baharu berjumlah RM270.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, eksport turut meningkat sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion manakala import melonjak 49.3 peratus kepada RM124.2 bilion.

“Pasaran buruh juga lebih baik dan kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus pada Mei berbanding 5.0 peratus pada bulan sama pada 2020,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ismail Sabri berkata jualan perdagangan borong dan runcit turut mencatat peningkatan sebanyak 19.9 peratus pada Mei lepas manakala jualan sektor pembuatan menokok sebanyak 15.7 peratus bagi tempoh sama.

Perdana Menteri menyifatkan prestasi ekonomi yang baik itu turut disokong oleh dasar-dasar kerajaan yang konsisten terutamanya inisiatif di bawah Bajet 2022, pakej rangsangan dan bantuan-bantuan lain yang diperkenalkan.

“Ekonomi kita kini terus mencatatkan pemulihan sepanjang negara berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik selepas dua tahun berdepan ancaman COVID-19.

“Di sebalik pandemik itu pula diikuti dengan kenaikan harga barangan dan inflasi akibat gangguan rantaian bekalan global serta krisis geopolitik serantau…Alhamdulillah prestasi ekonomi dan perdagangan negara terus kekal utuh,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, bagi suku pertama 2022, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.0 peratus disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

Bagi tempoh sama, sejumlah RM42.8 bilion pelaburan telah diluluskan yang melibatkan sebanyak 910 projek dan mewujudkan 24,906 peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia, kata beliau.

Malah, Ismail Sabri berkata, agensi penarafan antarabangsa global, S&P juga telah menaik taraf prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil, sekali gus memaparkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kredit dan kemampuan negara ini mengharungi cabaran fiskal selepas pandemik.

Mengulas majlis malam ini, beliau meminta ahli-ahli NCCIM agar peka dan mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan-peraturan perburuhan supaya kekal berdaya saing di pasaran sedia ada serta meluaskan lagi potensi di pasaran baharu. 

Menurutnya, ini selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu negara berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dengan tumpuan utama untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memastikan kelestarian pengeluaran dan operasi perniagaan, termasuk mematuhi standard perburuhan antarabangsa.

–BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pertumbuhan-ekonomi-malaysia-dijangka-terus-kukuh-pada-suku-kedua-tahun-ini-pm-ismail-sabri/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA