Melaka Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion Bagi Projek Pusat Data Di Ayer Keroh

MELAKA, 27 Julai (Bernama) — Kerajaan negeri Melaka menerima pelaburan berjumlah lebih RM1 bilion bagi pembinaan sebuah pusat data yang juga kedua terbesar negara selepas Cyberjaya.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini susulan terdapat pelabur dari China yang berminat bagi pembinaan kemudahan tersebut di Melaka.

“Insya-Allah kita berharap pelaburan terbesar pusat data ini akan diterima oleh Melaka pada tahun ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya ketika ditemui di luar dewan, Ab Rauf berkata satu kawasan seluas 8.0 hektar di Ayer Keroh di sini, telah dikenalpasti sebagai tapak pembinaan pusat data berkenaan.

“Saya tak boleh dedahkan dengan lengkap (mengenai pelaburan ini) kerana kita telah tandatangan NDA (perjanjian kerahsiaan) dengan syarikat ini.

“Pusat data ini merupakan yang kedua terbesar selepas Cyberjaya memandangkan Melaka di lokasi strategik antara Cyberjaya dan Johor serta mempunyai sambungan kabel dasar laut yang terletak di Pengkalan Balak,” katanya.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) yang bertanyakan mengenai pelaburan-pelaburan khusus dalam pembangunan digital di Melaka.

Beliau turut menjawab soalan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai pelaburan dalam negeri bagi 2022 serta sektor yang menjadi tumpuan.

Ab Rauf berkata pelaburan dalam negeri bagi 2022 dijangka lebih tertumpu kepada tiga sektor iaitu pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/melaka-terima-pelaburan-lebih-rm1-bilion-bagi-projek-pusat-data-di-ayer-keroh/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA