SC Tekankan Kepentingan Pendidikan, Perancang Kewangan Dalam Persekitaran Semasa

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Pendidikan kewangan dan perancangan kewangan yang lebih baik kini semakin penting berbanding sebelum ini untuk membantu rakyat Malaysia dalam mengurus masa depan kewangan mereka, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata keselamatan persaraan adalah antara beberapa isu domestik jangka panjang penting yang perlu ditangani oleh negara.

“Malah sebelum pandemik, keselamatan persaraan Malaysia adalah isu utama. Malangnya, COVID-19 telah memburukkan lagi masalah ini.

“Pengeluaran khas yang dibenarkan daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memudahkan keperluan aliran tunai ahli telah menyebabkan lebih ramai yang mempunyai simpanan persaraan yang tidak mencukupi,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Tahunan AFA ke-11 hari ini.

Awang Adek menegaskan walaupun ramai yang kelihatan terjamin dari segi kewangan hari ini, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk memperakui akan potensi ketidakpastian dan kelemahan yang mungkin dihadapi mereka pada masa hadapan.

Beliau berkata Malaysia juga mesti memupuk dan menarik lebih ramai bakat menceburi industri perancangan kewangan dalam usaha menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan yang berkualiti.

“Dan tidak mengejutkan bahawa pelabur semakin mencari nasihat pakar untuk membantu memenuhi keperluan kewangan mereka,” katanya sambil menambah memilih pelan kewangan yang betul tidak lagi mudah, dengan pelbagai pilihan – termasuk sekuriti tersenarai serta bon atau sukuk korporat tidak tersenarai.

Sejak 2015, bilangan firma perancangan kewangan telah meningkat sebanyak 42 peratus kepada 44 firma, manakala bilangan wakil berlesen telah berkembang 145 peratus kepada hampir 1,400 individu daripada 567 individu pada 2015.

Awang Adek seterusnya menekankan bahawa keberuntungan dalam industri perancangan kewangan — termasuk penasihat unit amanah korporat — juga terbukti daripada pengagihan dana unit amanah yang memberangsangkan, dengan purata jumlah jualan tiga tahun sebanyak RM1.1 bilion.

“Ini sudah pasti meningkatkan keadaan kewangan ramai rakyat Malaysia. Bagaimanapun, saya percaya pertumbuhan ini juga didorong oleh peningkatan kerumitan dalam produk kewangan, dan keinginan orang ramai untuk mendapatkan bantuan dalam menangani kerumitan ini,” tambahnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/sc-tekankan-kepentingan-pendidikan-perancang-kewangan-dalam-persekitaran-semasa/

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.