Perkongsian Sime Darby-Wallbox Penggunaan EV Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Wallbox, penyedia penyelesaian pengecasan dan pengurusan tenaga kenderaan elektrik (EV), menjalinkan perkongsian dengan Sime Darby Bhd untuk mempercepat penggunaan EV di Malaysia.

Mengikut perjanjian itu, Mecomb Malaysia, anak syarikat Sime Darby, akan mengedarkan rangkaian produk Wallbox dan menjadi antara penyelesaian pengecasan AC (arus ulang alik) pilihan untuk Sime Darby Motors.

Melalui perkongsian ini, ia juga akan membantu meningkatkan pembangunan ekosistem EV di rantau Asia Pasifik, menurut kenyataan bersama Wallbox dan Sime Darby.

Pengarah Urusan Mecomb Malaysia, Ooi Sim Mun berkata pihaknya mahu mengembangkan perkongsian ini di Malaysia dan kemudian memperluas ke seluruh Asia Pasifik.

“Kami gembira dapat menjalinkan perkongsian dengan Wallbox untuk menawarkan penyelesaian EV padat premium,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Jualan, Wallbox, Moises Barea berkata komitmen Sime Darby terhadap kemampanan bukan sahaja melangkaui penyelesaian pengecasan malah merangkumi keseluruhan ekosistem EV.

“Seperti biasa, matlamat kami berterusan untuk menyediakan produk mesra pengguna yang diterima baik oleh pelanggan di seluruh dunia. Kami gembira dapat berkongsi dengan Sime Darby ketika kami terus mengembangkan penyelesaian EV kami di seluruh Malaysia,” katanya.

Sime Darby menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pasaran EV melalui Sime Darby Motors serta pembekalan dan pemasangan pengecas EV dan penyelesaian pengecasan EV melalui Mecomb di Malaysia.

Ini selaras dengan pelan tindakan kemampanan konglomerat itu yang menyasar untuk mempunyai lebih 50 peratus produk cekap tenaga dalam portfolionya pada 2025.

Wallbox mencipta sistem pengurusan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik termaju, membentuk semula hubungan pengguna dengan grid, namun misinya yang lebih luas adalah memperkasa pengguna untuk mengawal penggunaan, menjimatkan wang dan hidup secara lebih mampan.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/perkongsian-sime-darby-wallbox-penggunaan-ev-di-malaysia/

Previous ArticleNext Article

KPPK: Potensi Minyak Sawit Malaysia Kekal Utuh Walaupun Harga MSM Lemah

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) — Potensi minyak sawit Malaysia terus utuh walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) lemah dan prospek komoditi itu akan kekal cerah pada separuh kedua 2022.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini sebahagiannya turut didorong oleh penerimaan global yang semakin meluas terhadap komoditi negara, termasuk daripada pasaran-pasaran bukan tradisional. 

“Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) –  ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit’  yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh yang sama pada 2021.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, jelas beliau.

Dari segi jumlah pula, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini turut meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan  berbanding 11.15 juta tan tahun lepas.

“’Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan dalam pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada separuh pertama 2022.

“Berdasarkan kepada perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran MSM turun sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta tan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta tan pada separuh pertama 2021,” kata Zuraida.

Katanya kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus setiap hektar  sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan setiap hektar dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, Zuraida menambah lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga MSM di dalam dan luar negara yang menyaksikan antara Januari hingga Jun 2022, harga MSM meningkat sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 satu tan daripada RM4,061.50 satu tan bagi tempoh sama 2021.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion, peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kppk-potensi-minyak-sawit-malaysia-kekal-utuh-walaupun-harga-msm-lemah/