Sebanyak 499 Perniagaan Sokong Pengenalan Semula GST — FMM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) — Sebanyak 499 perniagaan memberi sokongan padu kepada pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 2.0 sedia ada memandangkan GST dilihat menawarkan struktur cukai yang lebih adil dan menghapuskan cukai bertindih dan tambahan yang biasanya ada dalam rejim SST.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM)  berkata respons itu adalah berdasarkan satu tinjauan yang dibuat oleh FMM mengenai pengenalan semula GST pada Mei 2020.

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata harga eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing di persada antarabangsa berikutan GST tidak dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan yang dieksport, manakala GST yang dibelanjakan ke atas input dapat  diperoleh semula di sepanjang rantaian bekalan.

“Selain itu, memandangkan sistem asas cukai yang luas ini akan meningkatkan cukai tidak langsung, ia akan menawarkan fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai langsung (cukai pendapatan individu dan cukai korporat) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang lebih menarik,” tambahnya.

Memandangkan kerajaan kini menumpukan kepada pemulihan ekonomi, Soh berkata pengeluar perlu mengutamakan masa dan tenaga mereka untuk membangunkan semula perniagaan.

Oleh itu, pengenalan semula GST tidak sewajarnya dipertimbangkan secara berasingan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada penilaian holistik sistem cukai di Malaysia dan kedudukan fiskal negara, katanya.

“Walaupun pengenalan cukai penggunaan yang menyeluruh akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara, GST 2.0 harus mudah diuruskan, tetapi tidak meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Berikutan perubahan dan peralihan kepada GST 2.0 berkemungkinan adalah mencabar, beliau berkata FMM menyeru kerajaan untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan melalui proses semakan semula yang terperinci bagi memastikan kejayaan pelaksanaan rejim cukai yang berkesan.

— BERNAMA

Bertia asal: https://thekapital.my/sebanyak-499-perniagaan-sokong-pengenalan-semula-gst-fmm/

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian