Peruntukan RM2 Bilion Bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) —  Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion sebagai dana awal bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara untuk membolehkan pemangkin kewangan secara teradun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kemudahan berkenaan akan mengupayakan pemangkin kewangan berkenaan dalam memastikan kelancaran aliran sumber kewangan ke arah projek-projek peralihan tenaga yang berpotensi secara marginal atau menghasilkan pulangan di bawah pasaran. 

“Kemajuan kita dengan mengambil kira keadaan semasa teknologi penyahkarbonan Malaysia yang belum matang, banyak bergantung kepada sumber tenaga alternatif serta kerjasama serantau dan antarabangsa yang mantap,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran fasa kedua Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara di sini, hari ini.

Menekankan perkara itu selanjutnya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa usaha terbabit turut melibatkan aspek kewangan yang besar.

“Oleh kerana cabaran utama dalam peralihan tenaga adalah pembiayaan, adalah dianggarkan pelaburan berjumlah sekurang-kurangnya RM1.2 trilion bagi tempoh 2023 hingga 2050 diperlukan untuk membolehkan peralihan tenaga secara bertanggungjawab,” kata beliau.

 Malah, Anwar menjelaskan, pada dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan peruntukan antara RM60 bilion dan RM90 bilion bagi menampung projek-projek penting, termasuk pengembangan pengangkutan awam, memperkukuh infrastruktur grid serta usaha latihan semula modal insan.  

Selain itu, beliau menyifatkan kecekapan tenaga itu sebagai antara tuas peralihan tenaga yang menawarkan penyelesaian jangka panjang secara berkesan dalam mengurus penggunaan tenaga, sekali gus mengurangkan lagi pelepasan karbon.

Atas alasan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melancarkan satu program retrofit besar bagi meningkatkan aspek kecekapan tenaga di bangunan-bangunan kerajaan.

“Satu platform ESCO (syarikat-syarikat perkhidmatan tenaga) akan dibentuk bagi menghubungkan ESCO swasta yang kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana dengan projek-projek kerajaan.

“Peranan utama platform tersebut adalah sebagai satu perantara yang mengumpulkan projek-projek retrofit bangunan kerajaan dan menggalakkan penyelarasan awam-swasta dalam pasaran ESCO,” kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.