RHB IB Unjur Dividen PETRONAS Turun Pada 2025 Ekoran Kejatuhan Harga Minyak


KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menganggarkan pembayaran dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan lebih rendah daripada RM32 bilion pada 2025, disumbangkan oleh prestasi yang lebih lemah pada 2024 di tengah-tengah penurunan harga minyak.

Bank pelaburan itu berkata adalah penting bagi mendapatkan maklumat jangkaan pembayaran dividen Petronas untuk 2025 terutamanya apabila perbincangan antara Petroleum Sarawak (Petros) dan Petronas masih berterusan.

Kerajaan juga berkemungkinan akan mengutamakan inisiatif tenaga hijau untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, katanya.

“Oleh itu, kami tidak akan terkejut terdapatnya peruntukan untuk pembangunan tenaga boleh baharu, dan mungkin juga penambahbaikan infrastruktur grid untuk memudahkan inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Satu daripada langkah ketara yang mungkin dibentangkan dalam Belanjawan 2025 ialah penerusan atau pengembangan rebat tunai di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih bagi memacu penggunaan solar, terutamanya dalam kalangan pemilik rumah, menurut RHB IB.

Untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar kediaman, bank itu mencadangkan sokongan tambahan diperlukan terutamanya untuk kumpulan B40 menerusi pinjaman dan subsidi dengan faedah yang rendah. 

Kerajaan pada masa yang sama masih menilai kesan rasionalisasi subsidi diesel, katanya.

Ia percaya kemungkinan penghapusan subsidi RON95 mungkin tidak diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan akan datang.

Sebaliknya, RHB IB percaya hab petrokimia di Pengerang akan mendapat manfaat pada pembentangan itu sekiranya butiran lanjut mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura diumumkan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA