Seremban Sentral Jana RM300 Juta Setahun Dan 2,500 Peluang Pekerjaan Baharu

SEREMBAN, 6 Disember 2025 – Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral dijangka dapat menjana hasil perniagaan sehingga RM300 juta setahun dan mencipta kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu merangkumi sektor kesihatan, peruncitan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan ke arah hab bandar moden dan berdaya saing.

Keyakinan ini diperkukuhkan dengan berlangsungnya majlis pecah tanah projek itu hari ini, melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 20.8 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

“Seremban Sentral bukan sekadar projek pembangunan fizikal semata-mata, tetapi simbol kebangkitan baharu yang bakal memperkukuh identiti bandar ini sebagai pusat ekonomi moden dan mampan.

Dengan dukungan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa, agensi teknikal serta rakan pemaju, kita bukan sahaja membentuk masa depan Seremban, malah turut mengangkat nilai warisan ke dalam arus kemajuan bagi memastikan pembangunan ini direalisasikan dengan jayanya,” kata YB Loke dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral yang dianjurkan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway, selaku pemaju projek ini. Majlis tersebut turut disempurnakan YB Tuan Arul Kumar a/l Jambunathan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, YBhg. Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE OA, Pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway. Turut hadir YBhg. Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, YBhg. Dato’ Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, YBhg. Datuk Mohd Anuar Taib, Timbalan Presiden Kumpulan Sunway serta YBhg. Dato’ Tan Kia Loke, Pengarah Urusan Kanan Kumpulan Sunway. 

Fasa Pertama: Tonggak Awal Pembangunan Seremban Sentral

Pelaksanaan komponen Fasa Pertama pembangunan ini akan bermula pada tahun 2026 dan akan memfokuskan kepada komponen–komponen teras seperti berikut:

  1. Pusat Perubatan Sunway Seremban atau Sunway Medical Centre:
  2. Sebuah hospital moden berkapasiti lebih daripada 250 katil dengan keluasan 480,000 kaki persegi; dan
  3. Hospital pertama di negeri ini yang dibina secara langsung bersebelahan Stesen Keretapi Seremban, menjadikannya hab kesihatan paling berhubung di Seremban.
  • Pusat Membeli-Belah Baharu
  • Pusat beli-belah baharu berkeluasan 1.2 juta kaki persegi;
  • Diuruskan oleh Sunway Malls; dan
  • Direka sebagai pusat komersial moden dan tarikan gaya hidup moden serta nadi ekonomi baharu bagi kawasan sekitar.
  • Menara Pejabat
  • Menara pejabat berkeluasan 300,000 kaki persegi; dan
  • Menyediakan ruang kerja moden dan fleksibel yang menyokong pertumbuhan perniagaan di Seremban.

Kesemua komponen dalam Fasa Pertama ini dirancang untuk disiapkan menjelang 2030, manakala bagi Fasa Kedua yang melibatkan pembangunan tambahan kediaman, komersial dan kemudahan komuniti (serviced apartment) berkeluasan 3.2 juta kaki persegi akan dibangunkan secara berperingkat dari tahun 2029 hingga 2039.

Manfaat Sosioekonomi Kepada Rakyat

Pembangunan ini dijangka memberi limpahan ekonomi langsung kepada Negeri Sembilan melalui tiga (3) manfaat utama:

  1. Peningkatan peluang pekerjaan
  2. Dianggarkan 2,500 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan merangkumi sektor peruncitan, pengurusan hartanah, logistik dan perkhidmatan selaras dengan pembangunan pusat beli-belah dan hospital sekali gus meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja tempatan.
  • Lonjakan aktiviti ekonomi tempatan
  • Melalui pembangunan ini juga, dianggarkan sehingga RM300 jutahasilperniagaan setahun dapat dijana, termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pendapatan bulanan kepada tenaga kerja tempatan melalui penjanaan aktiviti ekonomi langsung dan rantaian sokongan.
  • Peningkatan mobiliti rakyat
  • Pembangunan Seremban Sentral ini juga sekaligus menyasarkan sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian yang akan menghubungkan perjalanan antara kerja, kediaman, pusat kesihatan dan gaya hidup dalam lonjakan besar ke arah mobiliti bandar moden.

“Sunway berhasrat menjadi rakan strategik yang kukuh bersama RAC dalam agenda pembangunan berwawasan ini, bagi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan yang mampan, inklusif dan saksama. Kerjasama jangka panjang ini akan memastikan projek Seremban Sentral bukan sahaja memberi impak ekonomi, malah memberi manfaat sosial dan komuniti secara menyeluruh.” kata YBhg. Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE OA, Pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway.

Pengekalan Warisan – Membina Masa Depan Seremban Tanpa Melupakan Akar Budaya

Selaras dengan identiti sejarah Seremban, projek ini turut mengekalkan elemen warisan sedia ada melalui:

  • Pemuliharaan dan naik taraf Seremban Yard sebagai bangunan kolonial bersejarah dan mengekalkan pokok-pokok matang di kawasan tersebut sebagai identiti landskap asalnya. Pendekatan ini memastikan nilai warisan Seremban Yard terus terpelihara sambil mewujudkan persekitaran yang lebih lestari, menarik dan berfungsi untuk komuniti; dan
  • Penyusunan semula Heritage Market sebagai tarikan budaya disamping mewujudkan ruang dagangan yang tersusun dan lebih menarik.
Previous ArticleNext Article

MCE Lancar Hab Pembuatan Elektronik Automotif Bernilai RM50 Juta Di Serendah

Selangor – MCE Holdings Bhd (MCE) hari ini secara rasmi melancarkan MCE Auto Hub, sebuah fasiliti pembuatan termaju bernilai RM50 juta yang terletak di UMW High Value Manufacturing Park, Serendah, bagi memperkukuh keupayaan Kumpulan dalam reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

MCE Auto Hub yang dibangunkan di atas kawasan seluas lapan ekar merupakan fasa pertama daripada pelan pelaburan jangka panjang MCE yang bernilai sehingga RM200 juta. Hab ini dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran Kumpulan, sekali gus memperkukuh keupayaan dalam bidang elektronik automotif dan penyelesaian mobiliti generasi baharu.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Turut hadir ialah Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Mamat, Pengerusi MCE; Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), MITI; Datuk Dr Aminar Rashid, Pengerusi Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii); Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii; Zuaida Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Puan Julaihah Jamaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor; serta wakil agensi kerajaan, rakan industri dan pemain ekosistem automotif.

Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, MCE telah berkembang menjadi pembekal elektronik automotif Tier-1 dari Malaysia yang memiliki keupayaan penuh dalam Original Equipment Manufacturing (OEM) dan Original Design Manufacturing (ODM), merangkumi reka bentuk, pembangunan serta pengeluaran produk untuk pelanggan.

YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata:

“Pelaburan ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan berterusan industri automotif Malaysia dan mencerminkan keyakinan terhadap MCE Holdings serta masa depan Malaysia. Dalam industri yang sangat kompetitif, pembekal tempatan perlu terus mengejar kecemerlangan pembuatan dengan memperkukuh kepakaran kejuruteraan, inovasi dan teknologi.”

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr. Goh Kar Chun (吴佳骏医生) berkata:

“Bermula dengan kontrak pertama kami membekalkan sistem penggera kawalan jauh dan sistem kunci pusat untuk pasaran domestik pada tahun 1990, MCE terus melabur bagi memperkukuh keupayaan kami. Selama bertahun-tahun, kami telah mengembangkan portfolio daripada komponen automotif tradisional kepada penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik yang lebih maju.”

Beliau menambah:

“Hari ini, kami berkhidmat kepada pelanggan di Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dengan membekalkan penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik yang semakin canggih. MCE Auto Hub merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut dan mencerminkan keyakinan kami bahawa kepakaran kejuruteraan, bakat serta keupayaan pembuatan Malaysia mampu bersaing di peringkat global.”

Direka sebagai hab pembuatan yang bersedia untuk Industri 4.0, MCE Auto Hub dilengkapi dengan kawasan pengeluaran bilik bersih (clean room) serta persekitaran pembuatan yang dikawal rapi bagi memenuhi keperluan penghasilan elektronik automotif berteknologi tinggi untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan juga kenderaan elektrik (EV).

Dengan hab ini mula beroperasi, Kumpulan kini mempunyai 680 pekerja, termasuk 90 jurutera, di seluruh operasinya di Johor Bahru, Port Klang dan Serendah. Ini mengukuhkan keupayaan MCE untuk menyokong portfolio projek yang semakin berkembang dalam segmen ICE dan EV.

Hab ini juga mengukuhkan kedudukan MCE dalam menyokong usaha meningkatkan kandungan tempatan dalam industri automotif, sekali gus membuka peluang kepada jurutera, syarikat teknologi dan pembekal tempatan untuk terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan teknologi automotif maju di Malaysia.

Pelaburan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi Malaysia serta menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam aktiviti bernilai tinggi di seluruh ekosistem automotif.

Dr. Goh turut berkata:

“Kami percaya masa depan industri automotif Malaysia akan dibina menerusi kerjasama yang lebih erat antara pengeluar kenderaan, pembekal Tier-1 dan pemain ekosistem tempatan termasuk syarikat semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E). Dengan bekerjasama, kita mampu mewujudkan lebih banyak peluang untuk teknologi yang dibangunkan di Malaysia diaplikasikan dalam industri automotif dan rantaian bekalan global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi elektronik automotif.”

MCE Auto Hub akan menjadi hab utama pembuatan dan kejuruteraan MCE, sekali gus memperkukuh keupayaan Kumpulan dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian elektronik automotif serta mekatronik bernilai tinggi untuk pelanggan di Malaysia, ASEAN dan pasaran antarabangsa.