Tiada Keperluan Untuk Kerajaan Perkenalkan Semula GST Pada Masa Ini

SIBU, 6 Sept  (Bernama) — Kerajaan masih belum diperingkat yang perlu untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, ini disebabkan oleh momentum pemulihan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini dan disokong oleh peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

“Sehubungan itu, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak di sini hari ini.

Sesi libat urus itu diadakan sebagai salah satu usaha kementeriannya untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada komuniti perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023.

Beliau berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, fokus kerajaan dalam bajet akan datang adalah kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan, serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan di masa depan.

Beliau berkata, paras inflasi negara bagi enam bulan pertama 2022 ialah pada kadar 2.5 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar inflasi di negara lain, dan kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

Katanya, langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding RM31 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.

“Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4 peratus,” jelas beliau.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/tiada-keperluan-untuk-kerajaan-perkenalkan-semula-gst-pada-masa-ini/

Previous ArticleNext Article

TalentCorp Perluas Rangkaian Industri Wanita Bagi Melahirkan Generasi Baharu Pemimpin Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), telah melancarkan Kohort Mentor Rangkaian Industri Wanita (Women-Industry Network, WIN) 2025 di bawah inisiatif utama Wanita MyWira, sebagai usaha memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan kesaksamaan wanita dalam tenaga kerja negara.

Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Girls4Girls Malaysia (G4G) serta Paragon Group sebagai penaja strategik. Kohort ke-11 ini menghimpunkan lebih 300 wanita muda daripada 25 universiti dan institusi TVET di seluruh negara untuk mengikuti program bimbingan selama lima minggu yang dikendalikan oleh 41 pemimpin wanita daripada pelbagai sektor termasuk teknologi, kejuruteraan, kesihatan dan tenaga boleh baharu.

Membina Rangkaian Kepimpinan Masa Hadapan Malaysia Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, berkata bahawa WIN merupakan satu pelaburan penting dalam membina barisan kepimpinan masa hadapan negara.

“Melalui Rangkaian Industri Wanita, kita bukan sekadar melabur dalam potensi individu, tetapi dalam transformasi struktur yang diperlukan bagi mencapai sasaran penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60% menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa peningkatan perwakilan dalam kalangan wanita di peringkat lembaga pengarah — kini sebanyak 33.1% bagi 100 syarikat tersenarai awam utama di Bursa Malaysia, berbanding 14% pada tahun 2015 — adalah satu perkembangan positif, namun kemajuan ini perlu diteruskan dengan usaha pembangunan kepimpinan yang berterusan.

“Untuk mencapai dan mengekalkan sasaran nasional sebanyak 30% wanita sebagai pembuat keputusan, kita perlu membina keyakinan, kemahiran dan rangkaian yang dapat memperkasa wanita untuk memimpin dan membentuk masa depan tenaga kerja Malaysia,” jelas beliau.

Menghubungkan Kemahiran dan Kepimpinan Program WIN Wanita MyWira memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, keyakinan diri dan kebolehpasaran melalui modul seperti kepercayaan, komunikasi, rundingan, etika serta khidmat awam. Para peserta dipadankan dengan mentor untuk sesi bimbingan secara individu dan pendedahan kepada cabaran sebenar dunia industri.

Inisiatif ini memperkukuh kemajuan Malaysia dalam menutup jurang gender. Jurang gaji antara jantina telah menurun daripada RM211 pada tahun 2023 kepada RM18 pada Mac 2025, manakala penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.2%, melebihi purata ASEAN.

Kerjasama Demi Impak Izzana Salleh, Pengasas Bersama dan Presiden Global Girls4Girls International (G4G) berkata, kerjasama dengan TalentCorp membuktikan bahawa kolaborasi berasaskan matlamat bersama mampu mempercepat kemajuan wanita.

“Kerjasama kami bersama TalentCorp melalui Rangkaian Industri Wanita membuktikan bahawa matlamat bersama — mempertingkat peranan wanita dalam kepimpinan dan penyertaan tenaga kerja — boleh diterjemahkan kepada kesan yang nyata dan berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Kruthiga Permar, Pengarah Kanan Bahagian Jalinan Korporat dan Perkongsian di Asia School of Business, turut berkongsi pandangan beliau dengan berkata bahawa “Visi TalentCorp dalam menerajui inisiatif transformasi seperti ini amat wajar dipuji. Rangkaian Industri Wanita memberi ruang kepada wanita muda untuk berkembang, membina jaringan perhubungan dan berjaya — ia benar-benar menjadi pemangkin perubahan dalam landskap bakat Malaysia.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Rangkaian Industri Wanita (WIN) di bawah Wanita MyWira telah membimbing lebih 1,000 wanita di seluruh negara, dengan kerjasama organisasi terkemuka seperti PETRONAS, Telekom Malaysia, Microsoft, CTOS, dan Asia School of Business. Program ini kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, membuka laluan baharu bagi wanita dalam bidang STEM, TVET dan sektor teknikal.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada mandat TalentCorp untuk memperkukuh tenaga kerja negara serta membina ekonomi berasaskan kemahiran dan inklusif di bawah kerangka dasar Malaysia MADANI.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/women