Untung Bersih Tahun Kewangan 2023 Petronas Susut Kepada RM80.7 Bilion Berikutan Purata Harga Direalisasi Rendah

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM80.7 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (tahun kewangan 2023) berbanding RM101.6 bilion pada tahun sebelumnya, sebahagian besarnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah. 

Perolehan pada tahun kewangan 2023 susut kepada RM343.6 bilion daripada RM372.3 bilion sebelum ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam kenyataan.

“Perolehan yang rendah itu sebahagian besarnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah untuk semua produk yang sejajar dengan penurunan harga penanda aras.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih baik, terutamanya daripada produk petroleum dan impak pertukaran asing,” katanya pada majlis pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan 2023 di sini hari ini.

Pada suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih syarikat minyak nasional itu merosot kepada RM16.6 bilion daripada RM24.4 bilion manakala perolehan susut kepada RM91.7 bilion daripada RM104.2 bilion sebelum ini.

Pelaburan modal berjumlah RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023, terutamanya disumbangkan oleh projek-projek huluan dan gas.

Tengku Muhammad Taufik berkata perbelanjaan modal domestik naik 41 peratus daripada tahun kewangan 2022 terutamanya untuk pelaburan terbuka dalam projek gas asli cecair terapung Petronas berhampiran pantai di Sabah serta Pembangunan Lapangan Gas Kasawari dan Kemudahan Penyerapan karbon dioksida (CO2) di Sarawak.

Jumlah aset mengukuh kepada RM773.3 bilion sehingga 31 Dis 2023 manakala ekuiti pemegang saham naik kepada RM443.5 bilion setakat 31 Dis 2023 terutamanya didorong oleh keuntungan yang dicatatkan oleh pemegang saham, katanya.

Kekal Tumpu Peralihan Tenaga, Dukung Disiplin Modal

Tengku Muhammad Taufik berkata sejajar dengan langkah pihaknya yang akan terus mendukung amalan pengurusan dan disiplin kewangan yang berhemat, Petronas memperkukuh komitmen pengurangan pelepasan karbon dalam perniagaan teras dan meneruskan inisiatuf untuk penyelesaian tenaga lebih bersih.

“Kami kekal komited untuk melaksanakan Strategi Peralihan Tenaga dan dalam masa sama berusaha untuk memastikan kecemerlangan operasi. Pelaksanaan kedua-duanya menjadi penting dalam usaha mengembangkan nilai portfolio perniagaan bersepadu kami,” katanya.

Beliau berkata Petronas telah membangunkan strategi yang jelas untuk peralihan tenaga.

Strategi itu bertujuan memastikan pendekatan seimbang dalam menawarkan penyelesaian kurang pelepasan karbon dan pada masa sama menyediakan asas bagi sistem tenaga baharu, katanya.

“Bagi keseluruhan kumpulan, kami melakarkan kemajuan dalam memenuhi sasaran jangka masa pendek untuk mengehadkan pelepasan karbon pada 49.5 juta tan setara karbon dioksida pada 2024 dalam operasi domestik kami.

“Dalam memandang jauh ke hadapan, Petronas kekal berazam meneruskan usaha meningkatkan pelaksanaan kami sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif.

Mengenai prospek, Tengku Muhammad Taufik berkata ekonomi global suram semasa memasuki tempoh 2024 berikutan prestasi ekonomi yang lebih rendah berbanding jangkaan semasa menghampiri akhir 2023 yang menyebabkan perbelanjaan dan pelaburan berhati-hati oleh perniagaan dan pengguna.

“Dalam keadaan cabaran makroekonomi ini, pasaran minyak dan gas menghadapi ketidaktentuan susulan permintaan global yang lembap selain risiko bekalan meningkat ekoran peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, industri tenaga sedang mengalami peralihan kepada penyelesaian lebih bersih.

“Meskipun mengalami semua cabaran itu, Petronas kekal teguh mendukung disiplin modal dengan mencapai keseimbangan di antara memperkukuh perniagaan teras dengan memanfaatkan peluang dalam perniagaan baharu termasuk penyelesaian tenaga bersih, di samping menguruskan pelepasan karbon secara bertanggungjawab seiring dengan Strategi Peralihan Tenaga kami,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari