Zuraida: Ambil Pekerja Asing Dari Pelbagai Negara

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin menyarankan pemain industri dari sektor perladangan supaya mengambil buruh asing dari negara lain dan bukannya bergantung kepada buruh dari Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata negara seperti Pakistan, India dan Afghanistan boleh diterokai oleh sektor perladangan untuk mendapatkan bekalan buruh dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kita perlu memudahkan mereka dan memberi taklimat kepada mereka tentang jenis kerja yang ada dalam sektor perladangan di Malaysia.

“Jika ada minat positif, kita boleh mula mengambil antara 50 dan 100 pekerja asing di peringkat awal untuk melihat sama ada mereka selesa di sini,” katanya semasa sesi bersama delegasi Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 hari ini.

Beliau memberitahu pemain industri boleh meningkatkan bilangan pekerja asing jika sambutannya positif dan bukan hanya bergantung kepada negara tradisional untuk mendapatkan buruh asing.

Mengenai MIACES 2022, beliau memuji acara itu sebagai platform yang sesuai untuk memberi perspektif yang lebih baik tentang industri minyak sawit Malaysia dan bagi menafikan dakwaan buruh paksa yang digunakan dalam sektor perladangan.

“Saya berharap pemain industri dari seluruh dunia dapat berkumpul bersama dan menyokong industri minyak sawit Malaysia serta mempunyai persepsi yang lebih baik terhadap sektor perladangan kita melalui ekspo ini,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/zuraida-ambil-pekerja-asing-dari-pelbagai-negara/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA