Santan Airasia Perkenal ‘Nasi Lemak On-The-Go’ Dengan Pembungkusan Baharu, Harga Berpatutan

KUALA LUMPUR, 27 Julai  (Bernama) — Santan Airasia telah memperkenalkan pembungkusan baharunya yang digelar ‘Nasi Lemak On-The-Go’ untuk hidangannya yang paling terkenal itu pada harga berpatutan.

‘Nasi Lemak’ berbentuk piramid itu didatangkan dengan rasa yang sama dan pembungkusan baharu yang unik, berharga RM4.90 untuk ‘ala carte’ dan set kombo dengan Teh Tarik berharga di bawah RM10, akan dihidangkan di semua restoran Santan dan melalui aplikasi makanan AirAsia.

Pengurus Besar Santan Airasia, Catherine Goh berkata jenama makanan dan minuman itu mahu menerapkan idea makanan segera yang mudah dan senang untuk orang ramai dengan menginovasi pembungkusan baharu untuk dibawa ke mana-mana bagi menggantikan cara makan tradisional di pinggan.

“Kami memberi tumpuan kepada Nasi Lemak kerana kami adalah yang terbaik dalam makanan itu, kami berinovasi dengan pembungkusan baharu, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini, dan kami ingin melihat bagaimana kami boleh membawa produk dari Malaysia ke dunia melalui konsep makanan segera.

“Dalam dua bulan lagi, Nasi Lemak baharu ini juga akan dihidangkan di syarikat penerbangan, kerana ia mudah untuk orang ramai makan dengan hanya memegangnya,” katanya selepas pelancaran ‘Nasi Lemak On-The-Go’ di Akademi AirAsia di sini, hari ini.

Goh berkata Santan akan membuka restoran baharu di pusat beli-belah berhampiran Ampang, Selangor, pada akhir tahun ini dan merancang mengembangkan perniagaannya ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta ke negara ASEAN termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Sambil berkembang ke rantau lain, kami juga akan lebih memfokuskan kepada Malaysia dengan melaksanakan konsep baharu melalui pembukaan lot kedai yang akan memudahkan akses untuk orang ramai.

“Kami juga akan mengumumkan perkongsian kami dengan kedai serbaneka dan stesen minyak baharu kerana pembungkusan baharu ini sesuai dengan pasaran tersebut dan kami akan mula menjual menjelang Oktober tahun ini,” katanya.

Bersempena dengan pelancaran Nasi Lemak On-The-Go, terdapat sehingga 12,000 hidangan Santan airasia untuk direbut dan sehingga sejuta mata airasia akan diberikan, terima kasih kepada makanan airasia dan ganjaran airasia.

Sehubungan itu, ahli akan memperoleh mata ganjaran berganda secara automatik (12 mata airasia untuk setiap perbelanjaan RM1) bagi sebarang perbelanjaan di Santan airasia dari 27 Julai hingga 31 Okt, 2022 melalui ciri Snap & Earn pada Super App airasia.

Ikuti Santan airasia di TikTok, Instagram (@santan.asean) dan Facebook (facebook.com/santan.airasia) untuk berita, aktiviti dan promosi terkini.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/santan-airasia-perkenal-nasi-lemak-on-the-go-dengan-pembungkusan-baharu-harga-berpatutan/

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.