ASNB Lancar Pendaftaran Akaun Dalam Talian Berasaskan e-KYC Dan Kempen #JomLabur

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan pelancaran kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan onboarding pelanggan digital (e-KYC*), serta fungsi pelaburan yang berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB (aplikasi). Seiring dengan penambahbaikan aplikasi ini, ASNB juga telah melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga hujung tahun ini. Kempen ini menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM200,000.

Ciri onboarding mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB. Para pelanggan ASNB sedia ada juga kini boleh membuka akaun atau mengemas kini butiran peribadi secara terus di portal dan aplikasi mudah alih myASNB. Ini membolehkan mereka untuk memulakan pelaburan dari keselesaan rumah sendiri.

Sementara itu, fungsi pelaburan baharu yang berasaskan matlamat, Target Labur, telah direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan anak-anak. Selain daripada matlamat pelaburan yang telah ditetapkan, pemegang unit juga boleh menetapkan matlamat pelaburan mereka sendiri. Fungsi Target Labur dilancarkan kepada pemegang unit secara berperingkat pada 8 Oktober 2021, bermula dengan kumpulan umur 18-34 tahun dan untuk semua pengguna aplikasi myASNB bermula pada 29 Oktober 2021. Pengguna aplikasi myASNB sedia ada dinasihatkan mengemas kini aplikasi agar dapat menggunakan fungsi baharu ini.

Sejajar dengan ciri-ciri baharu ini, ASNB melancarkan kempen #JomLabur untuk memberi ganjaran kepada pemegang unit yang menetapkan sekurang-kurangnya dua matlamat yang bernilai RM5,000 setiap satu. Kempen yang berlangsung dari 8 Oktober hingga 31 Disember 2021, disokong oleh Kumpulan UMW, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Jirnexu Sdn Bhd (syarikat induk RinggitPlus.com) dan GrabCar Sdn Bhd. Pemegang unit yang menetapkan dua matlamat dengan jumlah sasaran sekurang-kurangnya RM5,000 setiap satu akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah seperti sebuah Toyota Vios, sebuah Toyota Yaris, dua buah iPhone 12, tiga buah iPad, 30 pas akses RinggitPlus Financial Planner, atau 200 baucar GrabFood.

Penambahbaikan terhadap aplikasi myASNB ini bertujuan untuk melancarkan dan memudahkan aktiviti pelaburan semua warga Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kewangan mereka. Usaha ini adalah sebahagian daripada Strategi Pendigitalan ASNB.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Penambahbaikan aplikasi mudah alih myASNB ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk terus menyampaikan inovasi kepada pemegang unit. Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara terus melalui telefon mudah alih mereka. Dengan kempen #JomLabur, kami menyediakan ciri-ciri yang memudahkan para pemegang unit mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelaburan yang tetap dan konsisten .”

Ahmad Zulqarnain menambah, “PNB gembira dapat berkolaborasi dengan rakan-rakan kempen kami iaitu UMW, PayNet, RinggitPlus dan Grab, dan kami berterima kasih atas sokongan mereka menaja hadiah-hadiah untuk #JomLabur dalam bentuk tunai dan juga barangan. Kami berharap akan dapat menjalin kerjasama yang serupa pada masa hadapan demi manfaat semua warga Malaysia.”

Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Penaja Platinum kempen #JomLabur, berkata “Seiring dengan komitmen kami untuk membantu usaha mempromosi pendidikan pelaburan kepada masyarakat, kami amat berbesar hati dapat menyokong ASNB dalam usaha menggalak warga Malaysia melabur demi masa hadapan mereka. Kami mengucapkan tahniah kepada ASNB atas penampilan ciri-ciri baharu yang akan dapat membantu para pelabur mencapai objektif pelaburan mereka.”

Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Penaja Emas kempen #JomLabur berkata, “Kami berbesar hati dapat bergandingan dengan PNB dalam usaha mendigitalisasi pelaburan dengan penggunaan FPX untuk membuat pelaburan dalam unit amanah ASNB menerusi aplikasi myASNB. Memandangkan Malaysia mempunyai populasi pengguna sistem perbankan yang tinggi, ketersediaan FPX sebagai pilihan pembayaran untuk myASNB sangat bermanfaat dan menjimatkan kos untuk membantu rakyat di kawasan bandar serta luar bandar melabur demi masa hadapan mereka. Ini selaras dengan visi kami untuk memperkasakan ekonomi digital Malaysia.”

Aplikasi mudah alih myASNB tersedia untuk pengguna sistem iOS, Android dan Huawei.

* e-KYC (Electronic Know-Your-Customer) ialah satu penyelesaian yang membolehkan institusi-institusi kewangan mengesahkan identiti pelanggan dan onboarding pelanggan dalam talian, lantas dapat mengurangkan keperluan untuk interaksi sesama manusia. Ciri e-KYC dalam aplikasi myASNB ini telah dibangunkan sejajar dengan keperluan yang dinyatakan dalam dokumen dasar eKYC Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan pada 30 Jun 2020.

Untuk Maklumat Lanjut

Pendaftaran Akaun ASNB Dalam Talian (e-KYC Mudah Alih)
Laman Web pendaftaran akaun ASNB: https://www.asnb.com.my/applylabur.php
Video tutorial pendaftaran akaun ASNB (e-KYC): https://youtu.be/a2-GTQgytgQ

Target Labur (Pelaburan Berasaskan Matlamat)
Laman web Target Labur: https://www.asnb.com.my/targetlabur.php
Video tutorial Target Labur: https://www.youtube.com/watch?v=gTiDB53lpc4
Terma & Syarat #JomLabur: https://www.asnb.com.my/img/targetlabur/T&C%20EN.pdf

Mengenai Permodalan Nasional Berhad (PNB)
Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion. Portfolio PNB merangkumi pelaburan strategik dalam syarikat-syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan persendirian dan hartanah. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pnb.com.my.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 32 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. ASNB kini mengurus 16 dana unit amanah dengan unit dalam edaran (UIC) melebihi 260 bilion dan melebihi 14 juta akaun. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.asnb.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899.

Tentang Jewel Digital Ventures (JDV)
Jewel Digital Ventures (JDV) ialah anak syarikat milik penuh PNB yang memfokuskan kepada pembinaan usaha niaga dan pelaburan usaha niaga, yang bertujuan untuk meningkatkan penciptaan kekayaan untuk semua warga Malaysia melalui teknologi kewangan. JDV kini mempunyai kepentingan dalam Raiz Malaysia dan terus memberi sokongan kepada ASNB dengan pembinaan teknologi bagi aplikasi mudah alih myASNB. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.jeweldv.com.

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index