Anak Muda Kita

Kebebasan adalah satu nikmat yang harus kita syukuri dan pelihara. Ya lah, macam-macam kebebasan yang kita ada. Anak muda, lagilah banyak kebebasan yang ingin dicapai.

Bebas membuat keputusan, bebas memilih pasangan atau bebas bekerja mengikut minat diri sendiri. Tak lupa juga, bebas berbelanja. Dah kerja siang malam, takkan tak boleh nak reward diri sendiri?

Namun dalam kebebasan kita berbelanja, jangan dilupa bahawa usia yang muda ini akan sampai ke akhirnya. Kita yang muda akan berubah menjadi tua. Apakah dengan bebas berbelanja ini akan juga membebaskan kita daripada beban kewangan hari tua?

Jom kita lihat antara perkara yang anak muda suka buat berbanding dengan yang anak muda tidak suka amalkan tetapi baik untuk mereka.

1. Belanja Baru Simpan

Ini paling ramai suka lakukan. “Ahh, muda lagi. Kita enjoy dulu. Masa study tak ada income, tak boleh enjoy.” Tak salah untuk enjoy, nak shopping, nak bercuti dan sebagainya cuma perlu ada kawalan dalam perbelanjaan. Sudah pasti dalam setiap pendapatan kita, perlu diasingkan sedikit wang untuk simpanan.

2. Kad Kredit

Kad kredit merupakan satu instrumen yang baik terutamanya kepada golongan muda. Benar, selalu kita dengar kad kredit ini salah satu punca anak muda terjerumus dalam lembah kebankrapan namun jika diurus dengan betul, kad kredit dapat membantu kita membina skor kredit yang lebih baik.

Skor kredit pula dapat membantu memudahkan proses pinjaman kita kelak. Ramai yang gagal pinjaman perumahan terutamanya kerana skor kredit yang tidak baik (lambat bayar hutang) walaupun pendapatannya tinggi.

3. Tiada Perlindungan

Hidup mati adalah ketentuan Tuhan. Sebagai manusia, kita perlu berusaha. Nikmat kesihatan yang dikurniakan kepada kita harus dipelihara sebaiknya. Jangan lokek untuk mencarum takaful terutamanya takaful kesihatan. Ini merupakan ‘pelaburan’ yang sangat penting.

Bila dah sakit, baru nak mendaftar ibarat nasi sudah menjadi bubur. Ini bagi mengelakkan kita daripada terpaksa mengeluarkan satu amaun yang banyak pada satu-satu masa terutamanya sekiranya kita ditimpa musibah kesihatan.

4. Tiru Je Aku

Kawan yang baik memang susah nak jumpa. Tapi ingat, dalam hal pelaburan, jangan suka-suka kita tiru kawan. Contohnya, kawan kata beli saham A, kita beli saham A. Melabur perlukan ilmu. Melabur tanpa ilmu ibarat berjudi.

Carilah mereka yang berpengalaman dalam bidang ini untuk mengajar anda Analisis Teknikal mahupun Analisis Fundamental. Perkuatkan asas saham anda kerana risiko pelaburan ini ditanggung oleh anda sendiri, bukan kawan anda!

5. Ini Semua Salah Kerajaan

Tidak semua yang kerajaan lakukan itu salah dan tidak semuanya betul. Cuma dalam hal ini, tidak sepatutnya kita menyalahkan kerajaan sepenuhnya. Mungkin, ini adalah disebabkan oleh kita yang tidak berusaha untuk mencari duit tepi atau pendapatan sampingan.

Banyak pilihan yang boleh dibuat seperti memandu Grab, dropship dan juga melabur saham. Segalanya adalah pilihan yang boleh kita pilih untuk tambahbaik kehidupan kita.

Jadi anak muda, teruskan berusaha dan berusaha. Tingkatkan ilmu pengetahuan sebanyak mungkin dalam pelbagai perkara termasuk pelaburan.

Artikel ini dibawakan khas oleh Asri Ahmad Academy. Jika anda betul-betul ZERO dalam pelaburan saham, anda boleh mendaftar webinar anjuran Asri Ahmad Academy & Bursa Malaysia di sini.

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.