ASNB Tangguh Sementara Urus Niaga Dan Perkhidmatan Bermula 4 Hingga 7 Jun

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Semua urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lain Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan ditangguhkan sementara bermula pada 4 hingga 7 Jun 2022.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata penangguhan sementara itu disebabkan oleh pemindahan sistem operasinya ke sistem baharu, selaras dengan objektifnya untuk meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pelabur.

ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), menambah tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun, 2022.

Bagaimanapun, urus niaga bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 akan berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

Syarikat tersebut juga memaklumkan penangguhan urus niaga itu melibatkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen-ejen seluruh negara serta saluran elektronik dan dalam talian.

Ia termasuk portal dan aplikasi myASNB, ejeb perbankan internet iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk di cawangan ASNB serta Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Maybank dan CIMB Bank.

“Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun 2022,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata langkah strategik untuk beralih ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi yang lebih mudah dan moden agar ASNB dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih terkini.

“Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan.

“Pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran dalam talian, boleh membuat urus niaga seawal yang mungkin agar wang tersebut dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan.

ASNB berkata pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran tiga tiga kali dalam sebulan.

“Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja berikutnya,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: ASNB Tangguh Sementara Urus Niaga Dan Perkhidmatan Bermula 4 Hingga 7 Jun

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index