Boleh Shopping Online Ketika Solat Jumaat?

Soalan

Assalamualaikum pejabat mufti, saya nak tanya, apa hukum berjual beli secara online seperti di Shopee, Lazada, saham dan lain-lain ketika solat Jumaat? Terima kasih.

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-683: HUKUM MELAKUKAN JUAL BELI ATAS TALIAN KETIKA SOLAT JUMAAT yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan Ringkas

Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat Jumaat. Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa dan seumpamanya yang boleh melalaikan. Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam untuk menjauhkan diri daripada kesalahan ini dan melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat Jumaat.

Huraian Jawapan

Pada asasnya hukum berkaitan melakukan jual beli pada hari jumaat adalah diharuskan. Namun begitu, apabila masuknya waktu solat Jumaat, umat Islam perlu segera meninggalkan urusan duniawi dan fokus pada solat Jumaat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)

Surah al-Jumuah (9)

Melalui ayat di atas, Imam Ibn Kathir menerangkan bahawa waktu bermulanya larangan transaksi jual beli dan seumpamanya adalah ketika bermulanya azan kedua bagi solat Jumaat dan imam berada di atas mimbar sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 122/8[1])

Rujuk juga artikel kami yang lepas: Al-Kafi #1382: Waktu Larangan Jual Beli Pada Hari Jumaat

Seterusnya para fuqaha juga berpandangan bahawa ayat tersebut menyatakan pengharaman terhadap melakukan urusan jual beli dan lain-lain seumpamanya (seperti akan nikah dan akad sewa menyewa) setelah dikumandangkan azan kedua solat Jumaat kerana boleh melalaikan daripada menumpukan solat Jumaat. (Rujuk Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 223/9[2]Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih 307/18[3]Bidayah al-Muhtaj 391/1[4]Tuhfah al-Muhtaj 480/2[5])

Pada masa kini, transaksi jual beli adalah lebih mudah dengan adanya internet dan aplikasi-aplikasi e-dagang. Sifat jual beli secara atas talian ini adalah sama seperti jual beli konvesional seperti adanya pembeli, penjual dan barang dagangan. Justeru, hukum berkaitan jual beli ketika solat Jumaat adalah terpakai juga kepada kontek jual beli atas talian ini. Tambahan lagi, tidak dapat dinafikan kewujudan laman e-dagang memudahkan manusia untuk berjual beli tidak mengira tempat dan waktu. Namun begitu, adalah diingatkan bahawa perbuatan tersebut juga akan membuatkan seseorang itu lalai daripada menumpukan pada ibadahnya itu.

Kesimpulan

Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat Jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat Jumaat. Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa dan seumpamanya yang boleh melalaikan. Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam untuk menjauhkan diri daripada kesalahan ini dan melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat Jumaat.

Wallahualam.

[1] «وَقَوْلُهُ تَعَالَى: {‌إِذَا ‌نُودِيَ ‌لِلصَّلاةِ} الْمُرَادُ بِهَذَا النِّدَاءِ هُوَ النِّدَاءُ الثَّانِي الَّذِي كَانَ يُفْعَلُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَجَ فَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ، فَإِنَّهُ كَانَ حِينَئِذٍ يُؤَذَّنُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَهَذَا هُوَ الْمُرَادُ»

[2] أَمَرَ الْقُرْآنُ الْكَرِيمُ بِتَرْكِ الْبَيْعِ عِنْدَ النِّدَاءِ (الأَْذَانِ) يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَال تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ} . (1) وَالأَْمْرُ بِتَرْكِ الْبَيْعِ نَهْيٌ عَنْهُ

[3] فكأن معنى نهيه عن البيع أنه تشاغل عن حضور الجمعة؛ فكانت عقود المناكحات والإجارات وسائر الأعمال والصنائع قياساً على البيع؛ لأنه تشاغل عن حضور الجمعة

[4]  (ويحرم على ذي الجمعة) أي: من تلزمه (التشاغل بالبيع وغيره بعد الشروع في الأذان بين يدي الخطيب) لقوله تعالى: {إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ}، وقيس على البيع غيره

[5] وَإِنْ كَانَ عِبَادَةً (بَعْدَ الشُّرُوعِ فِي الْأَذَانِ بَيْنَ يَدَيْ الْخَطِيبِ) لِقَوْلِهِ تَعَالَى {إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ}

Baca juga :

Previous ArticleNext Article

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara — Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

“Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

“Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

“Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang,” katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

“Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik,” katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

— BERNAMA