AXA Bekerjasama Dengan Blueduck Untuk Memberikan Ketenangan Fikiran Kepada Pemilik & Penyewa Rumah

AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) berganding bahu dengan BlueDuck, sebuah platform penyelesaian sewa rumah sehenti untuk pemilik dan penyewa rumah dengan menawarkan perlindungan yang disesuaikan khas untuk rumah serta kandungan berharga.

Kerjasama ini amat bermanfaat kepada pemilik dan penyewa rumah yang melanggan kepada BlueDuck kerana mereka dapat melindungi rumah dan barang-barang berharga mereka.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen AXA untuk mencapai strategi Payer-to-Partner dengan meneruskan pelaburannya dalam kerjasama strategik dan memperluaskan saluran pengedaran digitalnya dalam usaha untuk memberikan pengalaman pelanggan yang bertaraf tinggi.

Menurut Emmanuel Nivet, Ketua Pegawai Eksekutif AXA, “Rumah kita adalah salah satu pelaburan terbesar dalam kehidupan – sebarang kerugian atau kerosakan berkemungkinan besar akan membebankan kita dari segi kewangan dan emosi. Sebagai syarikat insurans, kami percaya kami mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan yang aktif dalam mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pengurangan risiko dan perlindungan insurans dalam semua keadaan yang berbeza. Dengan menggabungkan kepakaran kami dan proposisi BlueDuck yang kukuh, sinergi kami akan menyediakan ekosistem dalam talian yang cekap untuk pemilik dan penyewa rumah yang menawarkan penyelesaian perlindungan rumah komprehensif yang mampu dimiliki dan boleh diakses dengan mudah di mana sahaja dan pada bila-bila masa.”

BlueDuck kini menyediakan perkhidmatan berkaitan rumah kepada tuan rumah serta bakal penyewa. Tuan rumah yang menyenaraikan hartanah mereka di platform ini akan mendapat akses kepada para penyewa dan skor kredit mereka untuk mengenal pasti pembayar sewa yang baik. Ia juga menawarkan pengurusan sewa yang lengkap serta mudah tanpa kesulitan, daripada mengutip sewa, mengendalikan permintaan penyelenggaraan penyewa dan menyediakan sistem pengurusan dalam talian yang membolehkan tuan rumah untuk melihat semua maklumat pada suatu masa.

“BlueDuck memainkan peranan sebagai pelayan peribadi untuk hartanah anda – kami menguruskan semua kesulitan dari awal hingga akhir supaya pemilik dan penyewa rumah tidak perlu bimbang tentang apa-apa pun. Kami berbesar hati untuk berkongsi matlamat bersama dengan AXA dalam menawarkan pengalaman sewa rumah yang lancar melebihi keperluan pelanggan kami dan yang paling penting, untuk memberikan mereka nilai dan perlindungan tambahan,” kata Earnest Wong, Ketua Pegawai Eksekutif BlueDuck.

Ahli BlueDuck layak untuk menerima perlindungan AXA SmartHome Optimum (Enhanced) selama 1 tahun, termasuk jumlah yang diinsuranskan sebanyak RM10,000 untuk kandungan rumah dan RM130,000 untuk insurans kebakaran. Kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran akan dilindungi oleh insurans kebakaran manakala kerosakan perabot dilindungi oleh insurans kandungan rumah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.