CEO Bursa Malaysia Ambil Alih Jawatan Pengerusi CEO Action Network

KUALA LUMPUR, 5 Dis   (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift kini mengetuai CEO Action Network (CAN), gabungan informal yang menumpukan kepada kemampanan pertama di Malaysia bagi CEO terkemuka dan pembuat keputusan korporat kanan, sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu.

Ahli Pengasas dan bekas Pengerusi CAN Datuk Tengku Muhammad Taufik, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), menyerahkan baton kepimpinan kepada Muhammad Umar dalam dialog jamuan tengah hari CEO anjuran Kelab Petroleum Malaysia baru-baru ini.

Tengku Muhammad Taufik yang berkhidmat selama dua tahun berkata, sejak penubuhannya pada akhir 2020, CAN telah muncul sebagai suara korporat Malaysia yang boleh dipercayai mengenai perniagaan mampan dan pembangunan mampan.

“Sebagai gabungan pemimpin yang mempunyai matlamat, usaha kami akan terus tertumpu kepada membina kapasiti terhadap kemampanan (dan) menggerakkan sumber serta peralatan yang diperlukan untuk menyokong usaha integrasi alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus.

“Paling penting, (gabungan ini) ialah mencari penyertaan aktif peringkat CEO industri dalam membentuk dan/atau menyokong dasar kemampanan serta peraturan yang akan membantu Malaysia memenuhi komitmen globalnya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Muhammad Umar berkata bahawa CEO di Malaysia juga mempunyai cita-cita untuk mencapai matlamat global yang berkaitan seperti SDG PBB, tanpa mengabaikan keutamaan tempatan.

“Saya berharap untuk mengangkat CAN menjadi daya penggerak utama bagi amalan ESG yang baik, dengan rakan-rakan CEO yang memimpin melalui teladan dalam memperjuangkan tahap celik ESG yang lebih tinggi dan penumpuan ke arah penanda aras kemampanan bersama dalam kalangan korporat Malaysia daripada semua saiz dan industri,” kata bakal pengerusi itu. 

Dalam tempoh dua tahun lalu, ahli-ahli CAN telah berusaha untuk mengadakan 21 sesi meja bulat meliputi isu berkaitan kemampanan dan cadangan dasar untuk tujuh sektor industri kritikal, membantu membina kapasiti kepada hampir 1,000 pengamal kemampanan dan melancarkan 10 aset pembelajaran digital untuk perusahaan bersaiz kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan organisasi anggotanya, kata kenyataan itu.

Ahli CAN juga telah memulakan proses untuk merangka dasar model dengan intervensi bagi menyokong ahlinya mengenai isu-isu kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/ceo-bursa-malaysia-ambil-alih-jawatan-pengerusi-ceo-action-network/

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index