Sektor Pengangkutan Catat Kemajuan Ketara, Projek MRT Berada Di Landasan Tepat

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Ketika Malaysia memulakan peralihan ke fasa endemik, tahun 2022 menyaksikan sektor pengangkutan mencatatkan kemajuan ketara dengan pembangunan fasa tiga projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi Lembah Klang (MRT3) berada di landasan yang tepat dan ujian percubaan akhir operasi Fasa Dua laluan MRT Putrajaya telahpun menjalani ujian percubaan akhir.

Proses tender terbuka MRT3 Circle Line dengan empat pakej kontrak utama yang sedang berlangsung sekarang dijangka dapat mentransformasikan sektor pembinaan dan merancakkan ekonomi pada masa depan. 

Tidak seperti projek Laluan MRT2 Putrajaya yang hanya mempunyai satu kontraktor siap guna utama Tier 1, projek MRT3 akan mempunyai lima kontraktor utama Tier 1 yang dilantik untuk menerajui pelaksanaannya, yang sekali gus menyaksikan peluang besar bagi syarikat pembinaan tempatan tanpa mengira saiz untuk menyertainya. 

Projek kereta api mega

MIDF Research dalam unjuran terbaharunya telah mengekalkan saranan ‘positif’’ terhadap sektor pembuatan memandangkan kos yang terkawal dan potensi pelancaran projek infrastruktur di Malaysia dipacu oleh pembangunan positif daripada pemberian tender MRT3 yang akan datang pada akhir tahun ini. 

Ujian percubaan akhir laluan MRT Putrajaya telahpun bermula dari 22 Nov lepas hingga 18 Dis manakala Fasa Dua projek MRT2 yang kini melibatkan stesen Kampung Batu ke stesen Putrajaya Sentral, dijangka mula beroperasi pada Januari tahun depan.

Mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), terowong Kuantan sejauh 2.8 kilometer telah berjaya ditembusi dua bulan lebih awal daripada jadual pada 17 Oktober lepas dan menjadi terowong ECRL ke-12 yang telah selesai proses pengorekan. 

Kejayaan penembusan 12 terowong ECRL itu, yang dianggap sebagai antara bahagian paling rumit, dilihat sebagai satu lagi pencapaian besar projek mega tersebut. 

Kos projek ECRL yang melibatkan 59 terowong dianggar mencecah RM50.27 bilion dan termasuk kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan  Selangor.

Selain itu, tahun ini juga menyaksikan kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd meneruskan projek Fasa 2 Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) dengan kos kontrak bernilai RM4.475 bilion. 

Kerajaan Johor juga menyasarkan kemajuan status projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mencecah 70 peratus menjelang Disember tahun depan.

Projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer itu menghubungkan terminal di Singapura di stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru dan apabila siap kelak pada Disember 2026, laluan itu akan dapat mengangkut 10,000 penumpang setiap jam di setiap arah. 

Pembinaan jalan hubungan di Sabah dan Sarawak berjalan lancar 

Pada Ogos tahun ini, kerajaan Persekutuan juga meluluskan pembinaan Fasa 2 projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) yang akan bermula awal tahun depan. 

Kajian teknikal projek Fasa 2 SSLR dan LTB menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas yang dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan, kini berada di peringkat akhir. 

Selain itu, seksyen Pujut bagi bahagian Sarawak daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos RM10.62 bilion telah dibuka pada 7 Ogos, 2022, yang membolehkan masyarakat dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati rangkaian jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa. 

Fasa Satu projek Lebuh Raya Pan Borneo Highway telah 88 peratus siap setakat Oktober 2022 yang merangkumi laluan sejauh 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri, melibatkan kos RM16.117 bilion.

Sementara itu, pengambilalihan semua ekuriti empat syarikat konsesi lebuh raya – KESAS, SPRINT, LITRAK dan SMART, oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) telah selesai pada 14 Okt, 2022. 

ALR, yang akan distruktur sebagai entiti bukan keuntungan akan mengambil alih 100 peratus pegangan SPRINT, LITRAK, KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) bagi gabungan nilai RM5.48 billion (RM2.06 bilion hutang dan RM3.42 bilion ekuiti).

Gangguan sistem LRT

Meskipun sektor pengangkutan mula pulih semula perlahan-lahan selepas impak yang teruk akibat pandemik, gangguan sistem LRT pada bulan lepas telah mencetuskan suasana kelam kabut dalam kalangan pengguna yang menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di Lembah Klang sepanjang tempoh gangguan tersebut. 

Pada 8 Nov, Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan perkhidmatan LRT di laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sistem dan operasi terpaksa dihentikan ekoran kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan isyarat antara pusat kawalan dan tren. 

Hari berikutnya, Prasarana Malaysia Bhd mengumumkan sebahagian daripada perkhidmatan LRT di laluan Kelana Jaya akan digantung selama tujuh hari sehingga 15 Nov, yang melibatkan 16 stesen dari stesen Kelana Jaya ke stesen Ampang Park, yang menjejaskan 200,000 pengguna. 

Bagaimanapun, Prasarana mengambil langkah segera memberi pampasan kepada pengguna LRT yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan itu dengan melanjutkan tempoh sah pas dan menyediakan lebih banyak bas ulang alik. 

MRDC

Dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada industri kereta api, Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan sebuah institusi dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Kereta Api  Malaysia (MRDC) untuk memperkasakan industri. 

Penubuhan MRDC itu dilihat sebagai tepat pada masa kerana industri kereta api dijangka berkembang pesat selepas penyiapan landasan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) ke Johor dan stesen ECRL menjelang 2026. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/sektor-pengangkutan-catat-kemajuan-ketara-projek-mrt-berada-di-landasan-tepat/

Previous ArticleNext Article

Kadar Pengangguran Malaysia Kembali Meningkat Kepada Tiga Peratus – DOSM

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat kepada tiga peratus, dengan merekodkan 511,800 orang penganggur pada April 2026, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada bulan dikaji, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Beliau berkata, tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

Sementara itu, katanya bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya pada 16.80 juta orang.

“Bilangan penganggur kekal dalam trend menaik, bertambah 0.6 peratus kepada 511,800 orang, berbanding 509,000 orang pada bulan yang lalu. Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan itu naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada Mac 2026, sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025.

“Kategori pekerja merangkumi 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026, meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang berbanding 12.60 juta orang pada Mac 2026, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding 3.14 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2026 yang dikeluarkan DOSM, hari ini.

Memberikan gambaran lanjut mengenai situasi pengangguran pada tempoh dikaji, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.5 peratus daripada jumlah penganggur.

Beliau berkata, kumpulan itu merekodkan peningkatan 0.3 peratus kepada 407,100 orang dengan 63.9 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 5.0 peratus daripadanya berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Pada masa yang sama, katanya penganggur tidak aktif yang terdiri daripada mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada kadar 10.2 peratus pada April 2026 dengan sejumlah 290,800 penganggur belia manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus dengan seramai 394,700 penganggur belia direkodkan pada bulan itu,” katanya.

Mohd Uzir berkata, melangkah ke hadapan, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan permintaan luaran dijangka akan terus mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi serta prestasi pasaran buruh.

“Dalam tempoh yang akan datang, usaha memperkukuh keyakinan perniagaan, meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan produktiviti akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi dan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan,” katanya.

— Berita Harian