Hong Leong Bank Menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan di Asia

Hong Leong Bank (“HLB” atau “Bank”) baru-baru ini diiktiraf sebagai satu daripada enam bank terhebat di Asia, dan satu-satunya dari Malaysia, dengan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Asia 2020 (Excellence in Leadership in Asia 2020) di upacara Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2020. Anugerah tersebut mengiktiraf HLB atas ketangkasan, pemikiran jauh ke hadapan dan komitmen dalam menghulurkan bantuan kepada pelanggan perniagaan, PKS dan individu serta komuniti amnya ketika krisis kesihatan dan ekonomi COVID-19 melanda. Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan adalah kategori anugerah baharu yang diperkenalkan untuk memberi penghormatan kepada bank di seluruh rantau berikutan tindak balas pantas dalam menangani pandemik COVID-19.

Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB berkata “Seawal Februari, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”) dilaksanakan, HLB telah melancarkan ‘Customer Financial Relief Plan’ bagi membolehkan pelanggan menstruktur dan menjadualkan semula pinjaman dan pembiayaan, mengambil kira krisis kesihatan dan ekonomi yang dijangka menjejaskan aliran tunai dan pendapatan individu. Pendekatan dan komitmen kami sebagai bank komuniti adalah membantu pelanggan secara proaktif untuk menguruskan dan mengurangkan impak gangguan aliran tunai jangka masa pendek serta impak sosial melalui inisiatif meluas yang disampaikan secara jelas, mudah dan bersepadu.”  

“Ikhtiar ini memerlukan pasukan kami bertindak tangkas, tegas dan berinovasi dalam merumuskan solusi bagi membantu pelanggan mengatasi rintangan demi membina masa depan yang lebih kukuh. Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan bagi ikhtiar yang diambil, dan ini memacu komitmen kami untuk menggandakan bantuan serta kerjasama dengan pelanggan dan komuniti dalam melayari perjalanan ke arah pemulihan.”    

Mengulas tentang kemenangan HLB, Euromoney menyatakan bahawa pelanggan HLB menikmati manfaat daripada kebolehan Bank tersebut untuk melihat jauh ke hadapan, serta iltizam dan ikhtiar yang jelas tertonjol dalam memastikan pelanggan memahami fasiliti dan bantuan berbeza yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”). 

Satu daripada inisiatif utama yang dilaksanakan oleh HLB sebagai tindak balas kepada wabak coronavirus adalah dengan memudahkan serta mendigitalisasikan proses permohonan Kemudahan Bantuan Khas (“SRF”) BNM untuk PKS bagi memudahkan penyesuaian kepada pergerakan terhad berikutan pengumuman PKP, selain menjaga kesihatan dan keselamatan pelanggan serta warga kerja HLB. HLB juga membenarkan permohonan dilakukan melalui emel, SMS atau Whatsapp dengan penggunaan tandatangan digital bagi memperoleh kebenaran. Langkah strategik ini membolehkan HLB mendapatkan sebanyak RM1.36 bilion bagi lebih daripada 2,200 PKS di bawah program SRF, sekaligus memberi PKS bantuan yang sesuai dengan keperluan semasa. HLB turut menyalurkan sebanyak RM500 juta dari dana sendiri untuk menambahbaik SRF serta mengisi keperluan PKS untuk mengkukuhkan kewangan serta merancakkan semula perniagaan mereka.

Bantuan tambahan kepada PKS turut disediakan oleh Kemudahan Perusahaan Mikro BNM, Kemudahan Automasi & Digital, Kemudahan Agromakanan serta Skim Pembiayaan PKS PENJANA dan Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA.

Selain itu, HLB menganjurkan ‘SME Talk’, siri webinar bulanan yang bertumpu kepada arah-aliran dan keperluan baharu yang boleh memanfaatkan komuniti perniagaan PKS untuk mengukuhkan semula perniagaan, selain menerima tips bagi memperkenalkan perkakas digital untuk menyesuaikan perniagaan mereka di norma baharu ini.

Dalam usaha membantu komuniti amnya, khususnya mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik, HLB mendermakan RM1 juta kepada MERCY Malaysia melalui Persatuan Bank Malaysia sebagai sebahagian sumbangan kolektif untuk mengukuhkan kesiapsiagaan, kesediaan dan respons kritis kepada kes COVID-19. Pada bulan Ramadan yang mulia, Bank bekerjasama dengan 12 rumah kebajikan di seluruh negara untuk menyediakan makanan panas setiap hari dengan kerjasama pelanggan PKS Bank sendiri, selain memberi sumbangan tunai kepada rumah kebajikan yang terlibat untuk membeli keperluan asas.

Bank turut menghulurkan bantuan kepada perusahaan sosial yang menghadapi cabaran dalam memenuhi misi sosial masing-masing. HLB telah bekerjasama dengan SURI Lifestyle, perusahaan sosial yang bertumpukan kitar semula denim, membantu dengan pemerolehan sosial bagi menghasilkan Peralatan Perlindungan Diri (“PPE”) untuk petugas kesihatan barisan hadapan di Hospital Klang serta mensubsidikan kos pekerja sebagai langkah yang sekaligus menjamin pendapatan berterusan bagi ibu tunggal kurang bernasib baik dalam menyusuri situasi pandemik. Satu lagi perusahaan sosial yang bekerjasama rapat dengan HLB adalah The Asli Co., perusahaan social yang membantu kaum ibu Orang Asli dengan memperkasakan mereka untuk menerima pendapatan mampan yang membantu dalam mengatasi cabaran yang menjelma berikutan krisis kesihatan yang melanda.

Baru-baru ini, HLB juga telah melancarkan ‘Pelan Bantuan Pembayaran’ yang akan menawarkan bantuan bersasar tambahan kepada pelanggan individu dan PKS yang menghadapi kesukaran untuk memulakan kembali bayaran sedia ada menjelang Oktober 2020 pasca tempoh moratorium. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Pelan Bantuan Pembayaran HLB, sila lawati: www.hlb.com.my/relief.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.