Hong Leong Islamic Bank Melancarkan Akaun Pelaburan Terhad Digital yang Pertama di Malaysia

Hong Leong Islamic Bank (“HLISB” atau “Bank”) meluaskan ekosistem pengurusan harta digital patuh Syariah dengan memperkenalkan akaun pelaburan terhad pertama dalam pasaran, Akaun Pelaburan Portfolio – Portfolio Investment Account (“PIA-i”).

Untuk PIA-i, HLISB bekerjasama dengan Hong Leong Islamic Asset Management (“HLISAM”) untuk menawarkan pelanggan peluang dan kemudahan melabur dalam dana saham amanah patuh Syariah di pelantar digital, memberi kemudahan melabur bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja. Prinsip Syariah yang diguna pakai adalah Wakalah bi Al-Istithmar, iaitu kontrak agensi di mana pelabur mengizinkan HLISB mengurus pelaburan bagi pihak pelabur.

HLISB, yang menerima pengiktirafan sebagai pelopor dalam inovasi dan pembentukan landskap perbankan runcit digital Islam di Malaysia apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan IRBA 2020 bagi Perbankan Islam Digital oleh Anugerah Perbankan Runcit Islam – Islamic Retail Banking Awards yang terkemuka. Selain diperkenalkan untuk memenuhi gaya hidup digital pelanggan masa kini, PIA-i juga merupakan produk pelaburan yang membolehkan pelanggan mempelbagaikan pelaburan peribadi mereka secara digital dengan memilih daripada beberapa dana patuh Syariah yang tersedia di pelantar perbankan digital Bank, HL Connect, sekaligus menggantikan proses pelaburan terdahulu. PIA-i disesuaikan untuk memenuhi keperluan kewangan segenap kategori pelanggan termasuklah orang dewasa yang bekerja, keluarga dan mereka yang berkesedaran sosial dan etika.   

Jasani Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB berkata, “Kawalan pergerakan COVID-19 memangkin pelaburan runcit di dalam negara, apabila rakyat Malaysia menyedari peri pentingnya melabur demi kemampanan kewangan masa hadapan. Seiring dengan transformasi pantas Malaysia ke arah ekonomi digital, pelantar digital PIA-i adalah satu lagi langkah menuju penggunaan perkakas dan teknologi digital di masyarakat yang semakin menerajui gaya hidup digital. Selain itu, PIA-i juga bertujuan melancarkan perjalanan ke arah pengurusan harta peribadi yang lebih berketerampilan.”

Beliau turut berkata, “Kami berusaha menawarkan perkhidmatan perbankan yang ringkas dan mudah untuk masyarakat, berpandukan strategi ‘Digital-at-the-Core’ dengan penyediaan perkhidmatan yang sesuai melalui produk perbankan yang mudah dan lancar untuk meningkatkan gaya hidup pelanggan. Ciri-ciri ini menjadi kunci inovasi produk, perkhidmatan dan pengalaman perbankan digital patuh Syariah, di samping sektor digital perbankan Islam dan pengurusan harta yang kian berkembang.”

“PIA-i mendahulukan perkhidmatan perbankan inklusif dan bantuan kewangan yang mudah diakses dengan memudahkan proses pelaburan sehingga sesiapa dengan kecelikan kewangan yang asas pun boleh mula melabur dengan mudah. Ini merupakan langkah penting sewaktu kami meningkatkan ikhtiar untuk membina semula, memulih dan mengukuhkan daya tahan dalam era pasca pandemik,” tambah Jasani.  

Melalui PIA-i, dana pelanggan akan dilabur ke dalam tiga dana pelaburan patuh Syariah; Hong Leong Dana Al-Izdihar, dana pasaran wang; Hong Leong Dana Maa’rof, dana imbang; dan Hong Leong Dana Makmur, dana ekuiti yang pernah memenangi anugerah Refinitiv Lipper.

Noor Aini Shaik Awab, Ketua Pegawai Eksekutif HLISAM berkata memandangkan teknologi digital yang memudahkan akses oleh pelanggan serta kesedaran terhadap kemapanan yang semakin mendapat perhatian, pengurusan aset patuh Shariah dijangka bertumbuh pesat dalam beberapa tahun yang akan datang.

“Kami percaya yang penyatuan prinsip pelaburan Syariah dengan teknologi digital bakal menjadikan pengurusan aset Islam antara produk pelaburan utama di Malaysia. Di samping itu, kami sedang mengambil langkah aktif untuk mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”) pada proses pelaburan Syariah sedia ada bagi memenuhi permintaan produk beretika dan mapan yang kian meningkat,” kata Noor Aini. 

Sebelum ini, HLISB memperkenalkan Akaun Pelaburan Berjangka – Term Investment Account-i (“TIA-i), sejenis Akaun Pelaburan berpandukan kontrak perkongsian keuntungan yang dikenali sebagai kontrak Mudarabah. Akaun ini berbentuk pelaburan mudah untuk pelabur yang cenderung mengambil risiko rendah, dan berpotensi menawarkan pulangan yang lebih tinggi dalam tempoh 3, 6 atau 12 bulan.

HLISB, anak syarikat milik penuh Hong Leong Bank (“HLB”), berkongsi pelantar digital dengan HLB, yang baru-baru ini diumumkan pemenang Bank Digital Terbaik 2021 oleh Asiamoney dan Anugerah Inovasi Perbankan Runcit Sedunia – Global Retail Banking Innovation Awards 2021 oleh Digital Banker, ihsan produk dan perkhidmatan inovatif yang menawarkan kemudahan dan pengalaman mudah, pantas dan lancar kepada pelanggan.

Untuk maklumat lanjut tentang HLISB Portfolio Investment Account, sila layari  https://www.hlisb.com.my/en/personal-i/manage-my-wealth/portfolio-investment-account-i.html.

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index