IOI Corp Lantik Bekas Pengerusi Bursa Malaysia Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — IOI Corporation Bhd telah melantik bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa 5 Nov, 2025.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada lembaga pengarah hari ini.

Sebelum ini, Abdul Wahid berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Abdul Wahid turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

Ketika ini, Abdul Wahid merupakan Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia (WWF-Malaysia) dan Yayasan MySDG.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Anak Syarikat TNB Terbit Sukuk RM1.05 Bilion Biaya Projek Solar PV Di Kedah

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Renewables Sdn Bhd melalui unitnya TNB Kuala Muda Solar Sdn Bhd menerbitkan sukuk bernilai RM1.05 bilion melalui Sukuk Wakalah Hijau ASEAN bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk membiayai projek solar fotovolta (PV) di Kedah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menurutnya TNB Kuala Muda Solar diberikan peranan untuk menguruskan reka bentuk, kejuruteraan, pembelian, pembinaan, pemasangan, pengujian, pengoperasian, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan bagi kemudahan PV solar berskala besar dengan kapasiti terpasang arus ulang-alik 500 megawatt di Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

Menurut kumpulan utiliti itu, sukuk berkenaan diterbitkan dalam 17 tranche.

TNB memaklumkan, hasil yang diperoleh daripada sukuk itu akan digunakan untuk tujuan patuh Syariah, menurut Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB yang dikeluarkan pada 24 September 2024.

Menurut TNB, hasil itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos projek, termasuk pembayaran atau pembayaran balik kepada penaja projek bagi perbelanjaan yang ditanggung sebelum pemuktamadan pembiayaan serta pembayaran balik pinjaman sedia ada atau kemudahan pembiayaan Islam.

TNB memaklumkan, sebahagian daripada hasil sukuk itu juga akan diperuntukkan untuk pendanaan awal akaun rizab perkhidmatan pembiayaan, bersamaan enam bulan bayaran perkhidmatan pembiayaan seterusnya di bawah program sukuk, keperluan modal kerja semasa fasa awal operasi projek serta perbelanjaan berkaitan penerbitan sukuk.

Menurutnya, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN.

Ia berkata, penyerahan dokumen berkaitan program sukuk telah dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti pada 3 Mac 2026.

-BERNAMA