iProperty.com.my: Permintaan Dalam Negara bagi Rumah Subsale pada 2020 Meningkat kepada -1.3% daripada -2.5% pada H1 2020

KUALA LUMPUR, 26 JANUARI 2021 — iProperty.com.my hari ini menerbitkan iProperty.com.my 2020 Property Demand Analytics, satu tinjauan umum mengenai permintaan hartanah subsale berdasarkan data kunjungan pengguna dan penyenaraian hartanah di iProperty.com.my bagi hartanah kediaman subsale di Malaysia, dengan tumpuan khusus pada KL, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Pembentangan analisis ini dibuat oleh Premendran Pathmanathan, Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, dalam satu sidang video dalam talian. Pembentangan ini melihat kepada empat jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium, kediaman servis dan buat pertama kalinya, apartmen.

Permintaan dalam negara bagi hartanah subsale pada 2020 jatuh sebanyak -1.3% tahun atas tahun (YoY). Permintaan terhadap kediaman bertingkat tinggi menurun seiring dengan harga manakala permintaan terhadap rumah teres kekal positif dengan pertumbuhan modal +2.6%.

Di antara ibu negeri di Malaysia, hanya Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif, masing-masing pada +1.7% dan +0.9%. Permintaan terhadap Pusat Bandaraya KL (KLCC) menguncup sebanyak -8.9% dengan penurunan pertumbuhan modal sebanyak -11% manakala permintaan terhadap George Town menguncup sebanyak -11.9% dengan penurunan pertumbuhan modal sebanyak -8.7%. Akibatnya, harga hartanah jatuh di kedua-dua bandar raya ini.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah melembabkan pertumbuhan ekonomi negara, permintaan terhadap hartanah pada separuh pertama 2020 mula pulih apabila sekatan dilonggarkan. Angka kunjungan pengguna ke laman web iProperty.com.my berada pada paras paling rendah pada April 2020 setelah PKP dikuatkuasakan.

Namun angka ini pulih semula apabila permintaan terpendam pengguna melonjakkan minat membeli ke paras lebih tinggi. Setakat Disember 2020, kunjungan unik bagi penyenaraian hartanah subsale pulih sebanyak +85% berbanding kali pertama PKP diumumkan. Trend yang serupa turut diperhatikan pada permohonan pinjaman perumahan – peningkatan kunjungan pengguna ke iProperty.com.my didapati seiring dengan peningkatan nilai permohonan pinjaman perumahan oleh pengguna Malaysia berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Sorotan dan Perangkaan Bulanan Bank Negara Malaysia bagi November 2020.

Kuala Lumpur terus merekodkan permintaan negatif dengan peningkatan perpindahan populasi. Berikutan trend bekerja dari rumah yang kian menjadi kelaziman, ramai orang berpindah ke perumahan mampu milik di pinggir-pinggir bandar di Selangor dan meninggalkan pasaran hartanah KL yang suram.

Permintaan terhadap hartanah di Kuala Lumpur jatuh sebanyak -1.3% dengan penurunan angka kunjungan pengguna bagi apartmen dan rumah pangsa. Ini disebabkan antara kumpulan paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 adalah B40. Batu Caves mengungguli carta kawasan tertinggi permintaannya di Kuala Lumpur dengan angka kunjungan segmen rumah pangsa meningkat lebih dua kali ganda.

Setiawangsa merupakan satu lagi kawasan penting dalam senarai ini. Ramai pengunjungnya berminat dengan hartanah berharga mampu milik iaitu antara RM200,000 ke RM300,000.

Selangor, terutama sekali kawasan pinggir bandarnya, telah mendapat manfaat daripada perpindahan keluar populasi ekoran pandemik COVID-19 ini. Kawasan kediaman pinggir bandar menawarkan rumah lebih besar dengan lebih nilai untuk wang pembeli dan telah menyaksikan pertumbuhan permintaan yang begitu pesat.

Daerah pinggir bandar seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih berada di bahagian atas senarai kawasan dengan permintaan tertinggi di Selangor. Meskipun bilangan penyenaraian kawasan-kawasan ini adalah terhad, terdapat minat yang mendalam pada penyenaraian ini. Pencari hartanah Puncak Alam berminat dengan rumah teres bersaiz keluarga antara 1,250 dan 2,000 kaki persegi dengan harga antara RM300k dan RM400k.

Serendah merekodkan pertumbuhan permintaan tertinggi di Selangor pada 2020. Kebanyakan minat tertumpu pada apartmen dan rumah pangsa berharga kurang daripada RM100,000 bersaiz kurang daripada 750 kaki persegi.

Seperti yang berlaku pada H1 2020, Selangor kekal menjadi satu-satunya negeri utama yang merekodkan permintaan positif iaitu sebanyak +3.2% manakala pertumbuhan modal turun sedikit sebanyak -0.2%. Harga apartmen menurun sebanyak -3.2% seiring dengan penurunan umum kunjungan pengguna dan penyenaraian bagi rumah pangsa.

Ini kerana pengguna terutama sekali golongan berpendapatan rendah telah mengalihkan perhatian mereka kepada keperluan harian.

Permintaan keseluruhan hartanah subsale Pulau Pinang menguncup sebanyak -9.5% dengan permintaan bagi kediaman servis jatuh sebanyak -20.4% pada 2020. Ini berbeza sama sekali dengan 2019 apabila negeri ini mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan. Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bakal muncul mampu menjadi pemangkin pasaran hartanah Pulau Pinang.

Projek ini dijangka meningkatkan kecekapan pengakutan di pulau tersebut, seterusnya menambahkan daya penarik kejiranan-kejiranan pinggiran. Di samping itu, PTMP dijangka menghasilkan peluang pekerjaan yang akan mempunyai kesan lelehan (trickle-down effect) pada ekonomi.

Kepala Batas merupakan kawasan dengan permintaan tertinggi di Pulau Pinang dengan angka kunjungan pengguna meningkat dua kali ganda pada 2020 dibantu sebilangan projek pemajuan bercampur berskala besar yang sedang dalam pembinaan. Balik Pulau turut menyaksikan peningkatan ketara angka kunjungan. Bagi segmen apartmen dan rumah pangsa, angka kunjungan Balik Pulau meningkat dua kali ganda pada 2020.

Johor merekodkan penurunan dua digit di semua kategori hartanah. Namun demikian, rumah teres merekodkan laba modal kerana kebanyakan pembeli rumah di Johor masih menggemari rumah bertanah. Prospek pasaran hartanah Johor kelihatan cerah sejak Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) mula dibina baru-baru ini.

Apabila siap, projek ini dijangka mengukuhkan harga hartanah di Johor Bahru kerana rakyat Malaysia berpendapatan tinggi yang bekerja di Singapura akan mempunyai pilihan untuk tinggal negeri selatan tanah air ini.

Muar dan Batu Pahat merupakan dua kawasan dengan permintaan tertinggi yang mempunyai beberapa projek kediaman yang sedang dalam pembinaan. Terdapat trend menaik pada harga hartanah di kedua-dua kawasan ini pada 2020 dan harga median pula setara dengan kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia.

Iskandar Puteri merupakan kawasan dengan permintaan tertinggi di Johor dengan pertumbuhan permintaan sebanyak +118%. Ini mungkin disebabkan pengurangan penyenaraiannya kepada separuh daripada yang sebelumnya. Kluang pula merekodkan pertumbuhan permintaan yang kedua tertinggi bagi hartanah berharga antara RM100,000 dan RM150,000, dan antara RM300,000 dan RM400,000.

Mengulas mengenai iProperty.com.my 2020 Portal Demand Analytics, Premendran berkata, “Penurunan permintaan hartanah pada 2020 ini memang telah kami jangka. Wabak COVID-19 telah mengubah cara orang hidup dan bekerja. 2021 bakal menjadi tahun mencabar kerana pasaran hartanah banyak bergantung pada ekonomi sesebuah negara.

Apa pun, kami percaya pasaran hartanah akan pulih selepas vaksin COVID-19 diperkenalkan. Satu lagi sinar harapan adalah pengecualian duti setem oleh kerajaan untuk pasaran sekunder di bawah Belanjawan 2021. Ini menawarkan lebih banyak peluang kepada pencari hartanah untuk meneroka pasaran hartanah kediaman subsale.

Di samping itu, pengurangan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membantu meringankan pembayaran semula pinjaman perumahan. Ini turut mencetuskan minat membeli hartanah terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan dan atasan.”

Tambah beliau, “Data permintaan membolehkan kita meninjau sentimen umum mengenai hartanah pada waktu seperti ini. Penerbitan iProperty.com.my Portal Demand Analytics ini akan membantu pemain industri memahami aliran minat pasaran berkaitan penawaran dan permintaan. Data yang didorong permintaan membolehkan kita memahami sentimen pengguna dalam pasaran hartanah.

Pihak kerajaan boleh memanfaatkan data ini dalam pembinaan perumahan mampu milik dan peruntukan subsidi bersasar. Pihak berkepentingan lain seperti ejen hartanah, persatuan perumahan dan pihak media boleh menganalisis data untuk memahami keutamaan pengguna pasaran tempatan dengan lebih baik yang mencerminkan permintaan pasaran. Kami berharap data yang dibentangkan akan memberi manfaat kepada semua, dari pembeli rumah hingga ke pemain industri.”

Anda boleh memuat turun salinan iProperty.com.my 2020 Portal Demand Analytics di www.iproperty.com.my/newsroom

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.aurealcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.commaakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. iProperty.com.my merupakan laman web hartanah No. 1 Malaysia yang menawarkan carian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari  www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan trend hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.