JCorp Dan Sojitz Meterai Kerjasama Dalam Inisiatif Penyahkarbonan Di Johor, Membina Masa Depan Tenaga Lebih Bersih Dan Hijau Bagi Industri

Johor Bahru, 27 September 2022 – Johor Corporation (JCorp), cabang pelaburan negeri Johor, dan Sojitz Corporation telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama selama tiga tahun mengenai penyahkarbonan dengan menggunakan bahan api hidrogen di Johor.

JCorp diwakili oleh JLand Group Sdn Bhd (JLG), bahagian hartanah dan infrastruktur Kumpulan, dan Sojitz Corporation (Sojitz) pula diwakili oleh ibu pejabat serantau bagi Asia dan Oceania, Sojitz Asia Pte. Ltd. Majlis tandatangan tersebut disaksikan oleh YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor.

Di bawah kerjasama strategik ini, JLG dan Sojitz akan berganding bahu untuk menjayakan beberapa inisiatif penyahkarbonan, yang antara lain, mewujudkan rantaian bekalan lestari dalam bahan api hidrogen daripada pengimportan amonia.  Hasil kajian diharapkan akan membantu meningkatkan keupayaan membekalkan tenaga hijau kepada pelbagai industri di Johor, yang boleh memanfaatkan bekalan tenaga lestari dan boleh diperbaharui.

Kajian ini juga merupakan sebahagian daripada perancangan ke arah pembangunan terminal penerimaan amonia, pangkalan bekalan tangki simpanan, loji kuasa turbin gas amonia sebagai bahan api untuk membekalkan tenaga hijau kepada pelanggan industri, dan pelan penyahkarbonan menyeluruh bagi operasi pelabuhan JCorp untuk mewujudkan pelabuhan neutral karbon di Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLPT). YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLG berkata, “MOU ini menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha kami memulakan perjalanan mencapai Emisi Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. Inisiatif strategik bersama Sojitz ini adalah sejajar dengan komitmen JCorp untuk mengukuhkan agenda kelestarian di seluruh rantaian nilai perniagaan kami. Kami berharap usaha sama ini akan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan hidrogen di Johor dan untuk rantau ini.”

“Sektor logistik menghadapi tekanan besar untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi masing-masing. Kerjasama ini dijalin tepat pada masanya untuk mengalihkan ekonomi-ekonomi kita daripada bahan api berasaskan fosil kepada tenaga alternatif. Ia bukan sahaja pelaburan untuk melindungi masa depan dan mewujudkan kelestarian dalam perniagaan JCorp, tetapi juga memacu perkembangan ekonomi baharu di negeri ini sambil memenuhi komitmen ESG untuk mencipta tenaga lebih hijau bagi industri masa depan dan juga generasi akan datang,” tambah Datuk Syed.

YBhg Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah, Bahagian Hartanah dan Infrastruktur, JCorp berkata, “Kerjasama JLG dengan Sojitz menekankan usaha tertumpu dan komitmen untuk merintis jalan bagi menjana pertumbuhan perindustrian yang lestari menerusi tenaga hijau. Seiring hasrat Johor untuk mengurangkan emisi rumah hijau (GHG), meningkatkan kecekapan guna tenaga dan memindahkan portfolio penjanaan kuasa ke arah emisi karbon sifar bersih, kajian kebolehlaksanaan ini merupakan langkah jelas yang diambil oleh pihak kami dalam usaha mengguna pakai bahan api hidrogen untuk mencapai cita-cita tersebut.”

Sojitz menggalakkan pembangunan rantaian nilai menggunakan bahan api generasi akan datang seperti hidrogen, berasaskan pengalaman perniagaan dalam pelbagai industri di Asia dan seluruh dunia. Dalam kerjasama ini, Sojitz akan mengetuai rundingan dengan bahagian pengeluaran hidrogen dan amonia, menentukan kaedah pengangkutan optimum dan mengunjurkan kebolehlaksanaan dari segi ekonomi.

Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLPT) yang akan menempatkan tapak kajian, ialah laluan penting dan strategik bagi pengangkutan laut, sekali gus bersedia memainkan peranan sebagai titik penyimpanan dan pembekalan amonia kepada kompleks perindustrian berhampiran. Langkah ini juga menggalakkan peluang pelaburan industri menerusi pemerolehan dan pengimportan amonia bersih dari pasaran antarabangsa dan tempatan ke Johor.

Sebagai sebatian hidrogen dan nitrogen, amonia tidak menghasilkan karbon dioksida apabila terbakar, dan sudah lama dianggap sebagai bahan api generasi akan datang bagi penjanaan tenaga haba dan kapal besar yang merentasi lautan. Amonia juga dijangka memainkan peranan sebagai pengangkut tenaga bagi hidrogen memandangkan kelebihannya yang lebih mudah dicairkan dan diangkut berbanding hidrogen.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.