Maybank Beralih Sepenuhnya Daripada SMS OTP Ke Secure2u Menjelang Jun 2023

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Maybank akan beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

“Ini adalah selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank berhijrah daripada Kata Laluan Satu Kali SMS (SMS OTP) kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi-transaksi ini,” kata bank dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun (setiap pelanggan) untuk meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan emel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata ini adalah sejajar dengan usaha bank untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

“Kami kekal komited dalam membantu pelanggan kami bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu.

“Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu untuk menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan,” katanya.

Maybank juga menyokong pengumuman BNM pada 26 Sept 2022 (Isnin) berhubung  langkah-langkah yang akan diguna pakai oleh bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih.

‘Industri perbankan komited untuk bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini,” tegas beliau.

Selain itu, Maybank juga telah menyediakan talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.

Pelanggan digesa untuk menghubungi talian hotline penipuan di +603 5891 4744 dengan kadar  segera jika mereka mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas atau telah berlaku transaksi yang mencurigakan atau sekiranya mereka ingin menggantung akaun bank mereka dengan pantas.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan Maybank di 1 300 88 6688.

Maybank sentiasa berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u dan di Facebook dan Instagram, dalam usaha untuk mengingatkan dan mewujudkan kesedaran di kalangan pelanggan tentang bahaya penipuan kewangan ini. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/maybank-beralih-sepenuhnya-daripada-sms-otp-ke-secure2u-menjelang-jun-2023/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.