Kerjasama Pertama Dalam Industri Kewangan Dan Pelaburan Syariah Tanahair Antara Syarikat Pengurusan Dana Islam Serta Syarikat Pengendali Takaful

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, negara menyaksikan kerjasama dalam industri kewangan dan pelaburan syariah apabila syarikat pengurusan dana Islam, iaitu PMB Investment Berhad (PMB Investment) menandatangani perjanjian kolaborasi strategik dua hala (Strategic Collaboration Signing Ceremony – Referral Arrangement & Cross Agency Appointment) dengan syarikat pengendali takaful Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful), hari ini.

Kerjasama ini akan memberi ruang kepada Perunding Unit Amanah (PUA) PMB Investment menawarkan produk berkaitan takaful Zurich kepada para pelabur. Pada masa yang sama ejen ZTMB juga boleh menawarkan unit amanah PMB Investment kepada pelanggan mereka melalui cross-sell.

Perjanjian kolaborasi strategik dua hala ini telah ditandatangani oleh Najmi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment dan Mukesh Dhawan, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful. Majlis kerjasama itu turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA), Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, dan Ketua Zurich Malaysia, Stephen Clark.

Menurut Najmi, kerjasama ini akan memberi impak kepada syarikat serta industri kewangan syariah, di mana ianya mampu mempercepatkan pertumbuhan permintaan produk berasaskan syariah.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, setakat 30 Jun 2019, terdapat 670 dana unit amanah dengan jumlah Nilai Aset Bersih (NAB) sebanyak RM467.2 bilion. Daripada jumlah itu, 230 dana adalah patuh syariah dengan NAB adalah sebanyak RM96.2 bilion. Jika dilihat dari segi perumbuhan pula, peratusan peningkatan NAB dari Jun 2018 hingga Jun 2019 adalah sebanyak 21.1 peratus berbanding sebanyak hanya sebanyak 7.8 peratus pertumbuhan bagi dana konvensional. Manakala, menurut Persatuan Takaful Malaysia, penembusan takaful di kalangan rakyat Malaysia dijangka akan terus meningkat,” tambah Najmi lagi. 

Mengulas mengenai kerjasama ini, Najmi berkata, “Syarikat PMB Investment harus menyediakan Perunding Unit Amanah yang berada di bawah pengurusan syarikat untuk mempelbagaikan penawaran portfolio perkhidmatan kewangan syariah kepada para pelabur. Untuk memastikan syarikat menjadi pilihan pelabur, syarikat perlu menyediakan produk yang tepat kepada para pelabur kerana tiada tiada satu produk yang sempurna untuk pelbagai keperluan.  Kerjasama ini diharap dapat memberi servis yang lebih luas kepada ramai pihak dan dapat memenuhi keperluan yang berbeza.”

Setakat 31 Julai 2019, PMB Investment mempunyai 1,000 PUA dan dijangka akan meningkat sebanyak 50 peratus menjelang hujung tahun ini. Manakala, Zurich Takaful mempunyai lebih daripada 6,000 ejen di seluruh negara.

Mengulas mengenai usaha kerjasama antara Zurich Takaful dan PMB Investment, Mukesh Dhawan berkata, “Terdapat pelbagai peluang di dalam industri takaful untuk pembentukan kerjasama strategik baru dan bermakna untuk menjana pertumbuhan industri. Di Zurich Takaful, kami komited untuk meningkatkan kesedaran konsumer dan berbesar hati dengan peluang bersama PMB Investment. Kerjasama ini membolehkan kami menggabungkan kepakaran dan kelebihan kedua-dua organisasi untuk meningkatkan liputan pasaran.”

“Melalui kerjasama ini adalah berlandaskan kekuatan PMB Investment dan rangkaian produk-produk  yang terkemukanya, diserasikan dengan kepakaran Zurich Malaysia dalam menyediakan produk-produk takaful  yang komprehensif, akan menambah nilai kepada pelanggan. Bersama, kami dapat meluaskan pengetahuan dan kesedaran terhadap kewangan Islam dengan lebih cepat, dan membantu rakyat Malaysia melindungi orang tersayang dan masa depan mereka,” tambah Mukesh lagi.

INFORMASI TENTANG PMB INVESTMENT BERHAD

PMB Investment Berhad (PMB Investment) merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA, sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC), menguruskan 15 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam ekuiti dan beberapa aset sukuk.

PMB Investment telah memenangi beberapa anugerah pada tahun 2019 antaranya adalah (i) The Lipper Fund Awards from Refinitiv 2019, (ii)The Lipper Fund Awards Global Islamic 2019 (iii) The Morningstar Awards 2019 dan (iv) FSMone Awards 2019 untuk dana PMB Shariah Premier Fund.

INFORMASI TENTANG ZURICH MALAYSIA

Zurich Malaysia adalah istilah rujukan kolektif bagi anak-anak syarikat Zurich Insurance Group (Zurich) yang beroperasi di Malaysia: Zurich General Insurance Malaysia Berhad, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad. Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful yang komprehensif; membantu individu dan juga pemilik perniagaan memahami dan melindungi diri, perniagaan dan juga asset mereka daripada risiko. Zurich Malaysia mempunyai rangkaian cawangan bersepadu di 40 lokasi dan juga agensi dan saluran pengedaran yang berdedikasi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelanggan. Untuk maklumat lanjut mengenai Zurich Malaysia, layari www.zurich.com.my

Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) adalah salah sebuah pengendali takaful keluarga terkemuka di Malaysia. Ia merupakan ahli Zurich Insurance Group dan satu-satunya penyedia tunggal produk takaful keluarga yang patuh syariah dalam kumpulan Zurich. Dengan kepakaran pasaran takaful lebih sedekad, ZTMB menyediakan penyelesaian perlindungan, perubatan dan kesihatan, simpanan wang dan pelaburan untuk memenuhi keperluan para pelanggan di pelbagai peringkat kehidupan. Bersama-sama kakitangan yang berdedikasi, tenaga kerja agensi, pengedar dan rakan niaga serta dengan sokongan rangkaian cawangan di seluruh negara, ZTMB komited untuk membantu para pelanggan memahami dan melindungi diri mereka daripada risiko Produk konvensional insurans hayat juga disediakan kepada pelanggan melalui syarikat sekutunya iaitu Zurich Life Insurance Malaysia Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai ZTMB, layari www.zurich.com.my

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.