Letusan Gunung Ruang: Beberapa Penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia Ke Sabah & Sarawak Dibatalkan

KOTA KINABALU, 18 April (Bernama) — Beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines dalam kenyataan di akaun media sosial rasmi X hari ini memaklumkan syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa penerbangan yang terjejas dan menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan terkini dan saranan perjalanan masing-masing.

“Pembatalan penerbangan pada 18 April 2024 berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang. Berikutan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pejabat Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan berkata penerbangan membawa mendiang Tan Sri Joseph Kurup (pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah) ke Kota Kinabalu yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan.

“Saya akan memaklumkan masa penerbangan terkini selepas menerima maklum balas daripada MAS (Malaysia Airlines),” katanya.

AirAsia dalam kenyataan pula berkata lapan daripada penerbangan berjadual antara KLIA dan Tawau telah dibatalkan. Turut dibatalkan adalah lapan penerbangan antara KLIA dan Kota Kinabalu, menjadikan sebanyak 16 penerbangan yang terjejas antara KLIA, Kota Kinabalu dan Tawau.

Menurutnya ia telah memaklumkan kepada semua penumpang yang terjejas, manakala penumpang dalam perjalanan ke atau dari destinasi yang terkesan digalakkan untuk menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka untuk pemberitahuan mengenai pembatalan.

“Para tetamu AirAsia yang melakukan perjalanan ke/dari destinasi yang terjejas digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus.

“AirAsia akan terus memantau situasi gunung berapi Gunung Ruang dan akan memberikan lebih banyak maklumat perkembangan terkini,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.