Malaysia Menjuarai ASEAN Investment Challenge Untuk Tahun Ketiga Berturut-Turut

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER 2025 – CGS International Securities Pte Ltd (“CGS International”) telah menutup tirai pertandingan ASEAN Investment Challenge (“AIC”) 2025 dengan jayanya, pada penganjuran kali ketiga berturut-turut yang berlangsung di Kuala Lumpur bersempena Forum Pasaran Modal ASEAN 2025 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Penganjuran kali ini mencatat sejarah baharu dengan penyertaan negara Filipina buat pertama kali, bersama pasukan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Pasukan serantau ini telah bersaing sejak bulan April bagi merebut kedudukan teratas dan membentangkan portfolio pelaburan terbaik.

Finale AIC 2025 menyaksikan lima pasukan kebangsaan bertanding untuk merebut gelaran serantau di hadapan panel juri yang mewakili NASDAQ, Bursa Singapura, Bursa Malaysia, Bursa Saham Indonesia, Bursa Saham Thailand, Bursa Saham Filipina, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan CGS International.

Selaras dengan penekanan global terhadap pelaburan bertanggungjawab, peserta juga diwajibkan untuk memasukkan sebahagian daripada portfolio mereka ke dalam saham yang sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan pelaburan.

Selepas penilaian ketat, juara AIC 2025 diumumkan Team Rever dari Malaysia, yang membawa pulang hadiah utama melebihi S$22,000 bagi memulakan perjalanan pelaburan sebenar mereka. Para finalis turut diberi penghormatan untuk bergambar bersama YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan 2 Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam literasi kewangan dan pelaburan bertanggungjawab.

Keputusan Akhir AIC 2025 adalah seperti berikut:

  1. Malaysia: Team Rever, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  2. Filipina: Team ABM Quant, Polytechnic University of the Philippines
  3. Thailand: Team ICU Associates, Mahidol University International College
  4. Singapura: Team Retirement by 30, Ngee Ann Polytechnic
  5. Indonesia: Team Liquid, Petra Christian University

Tahun ini, peserta mendapat pendedahan mendalam mengenai pelaburan pasaran modal melalui kelas induk dan sesi bimbingan bersama pakar industri daripada CGS International dan bursa-bursa serantau.

Peserta juga mendapat akses kepada CGS Academy, platform pembelajaran digital yang memberikan pemahaman menyeluruh tentang literasi kewangan, analisis teknikal dan kewangan mampan. Setiap pasukan turut diberi akaun dagangan demo untuk mengasah kemahiran dan membangunkan strategi pelaburan serta pengurusan risiko dalam persekitaran sebenar.

Carol Fong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, berkata, “AIC 2025 sangat menarik dengan penyertaan Filipina, melebarkan jangkauan kami daripada empat kepada lima negara ASEAN. Lebih membanggakan ialah bagaimana pasukan-pasukan muda ini semakin matang, dengan strategi pengurusan portfolio yang semakin canggih, termasuk pendekatan berfokuskan kemampanan.”

Beliau menambah bahawa kesinambungan dalam ekosistem AIC semakin kukuh, apabila peserta terdahulu kembali sebagai mentor untuk berkongsi pengalaman dengan peserta baharu.

CGS International juga komited untuk terus meningkatkan literasi kewangan serantau, termasuk memperkenalkan dagangan saham pecahan di Bursa Malaysia melalui aplikasi UP bagi memudahkan pelabur baharu membeli saham syarikat ternama pada kos lebih rendah.

Kevin Lee, Ketua Kelestarian Kumpulan CGS International, turut menyampaikan penghargaan, “Kami mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas usaha mereka sepanjang tujuh bulan latihan dan aktiviti AIC 2025. Program ini telah memberi pendedahan dunia sebenar kepada pelajar mengenai pasaran modal dan membantu mereka membina asas kerjaya dalam industri kewangan.”

Beliau berkongsi bahawa pemenang AIC 2023 kini bekerja sebagai Management Associate di CGS International Securities Malaysia, manakala pemenang tahun lalu sedang menjalani latihan industri di syarikat tersebut bukti keberkesanan program ini mencipta bakat baharu untuk masa depan kewangan.

Ahli Team Rever, Muhammad Eyzzul Helmi Bin Zul Ramli dan Nik Atikah Hani Binti Nik Mohd Zaid, berkata, “Kami berbesar hati menjadi wakil Malaysia yang menang tiga tahun berturut-turut. AIC membuka mata kami bahawa literasi kewangan ialah kemahiran yang mampu mengubah kehidupan. Ia bukan hanya teori tetapi pengalaman sebenar yang membina keyakinan kami untuk merangka strategi pelaburan yang berkesan dan bertanggungjawab.”

Previous ArticleNext Article

Trading Plan: Kunci Utama Yang Membezakan Trader Untung Dengan Trader Rugi

Ramai orang memasuki pasaran saham dengan harapan untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh yang singkat. Mereka belajar membaca carta, mengenali pelbagai indikator teknikal dan mencari saham yang sedang menjadi perhatian pasaran.

Namun, selepas beberapa bulan berdagang, tidak sedikit yang mula berasa kecewa. Ada yang kerap mengalami kerugian, ada yang sering membeli pada harga tinggi sebelum harga jatuh, malah ada juga yang gagal mengambil keuntungan kerana terlalu berharap harga akan terus meningkat.

Persoalannya, adakah masalah sebenar berpunca daripada strategi yang digunakan?

Tidak semestinya.

Hakikatnya, ramai pedagang gagal bukan kerana mereka tidak tahu membaca carta atau memilih saham, tetapi kerana mereka tidak mempunyai trading plan yang jelas.

Mereka membeli saham secara spontan, mengubah keputusan mengikut emosi dan sering bertindak balas terhadap setiap pergerakan harga di pasaran.

Dalam dunia trading, pasaran sentiasa berubah. Tetapi perkara yang paling penting ialah memastikan cara kita bertindak terhadap perubahan tersebut sentiasa konsisten. Di sinilah trading plan memainkan peranan yang sangat besar.

Apa Itu Trading Plan?

Trading plan ialah satu pelan bertulis yang mengandungi semua peraturan dan strategi yang akan digunakan oleh seseorang pedagang sebelum memasuki pasaran. Ia bukan sekadar mencatat saham yang ingin dibeli, tetapi merupakan satu sistem lengkap yang membantu pedagang membuat keputusan secara objektif.

Trading plan biasanya mengandungi perkara seperti:

  • Kriteria memilih saham.
  • Syarat untuk membeli.
  • Paras cut loss.
  • Sasaran keuntungan.
  • Pengurusan modal.
  • Risiko maksimum yang sanggup ditanggung.
  • Tempoh pegangan.
  • Strategi keluar daripada pasaran.

Pendek kata, trading plan ialah “manual operasi” seorang trader. Sama seperti juruterbang yang perlu mengikut prosedur sebelum pesawat berlepas, seorang trader juga memerlukan panduan supaya setiap keputusan dibuat secara terancang, bukannya dipengaruhi oleh emosi.

Mengapa Ramai Trader Gagal Tanpa Trading Plan?

Bayangkan anda ingin memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Anda masuk ke lebuh raya tanpa mengetahui laluan, tanpa menggunakan GPS dan tanpa mengetahui lokasi destinasi. Kemungkinan besar anda akan tersalah jalan. Begitu juga dalam trading. Ramai trader hanya tahu mereka mahu membeli saham.

Tetapi mereka tidak tahu:

  • Mengapa membeli?
  • Bila perlu menjual?
  • Berapa banyak kerugian yang sanggup diterima?
  • Apa yang perlu dilakukan jika pasaran berubah?

Akibatnya, setiap keputusan dibuat secara spontan. Apabila harga naik sedikit, mereka takut keuntungan hilang lalu terus menjual. Apabila harga jatuh, mereka pula berharap harga akan pulih sehingga enggan menjual walaupun kerugian semakin besar. Tanpa trading plan, emosi akan menjadi “pengurus portfolio” anda.

Trading Plan Membantu Mengawal Emosi

Dalam trading, terdapat dua emosi yang paling berbahaya.

  • Ketakutan (Fear)

Apabila harga mula jatuh, ramai trader panik. Mereka menjual walaupun saham tersebut sebenarnya masih berada dalam trend menaik. Ketakutan menyebabkan mereka keluar terlalu awal.

  • Ketamakan (Greed)

Sebaliknya, apabila harga naik dengan pantas, ramai pula mula tamak. Keuntungan yang sepatutnya sudah boleh diambil dibiarkan begitu sahaja kerana berharap harga akan terus meningkat. Akhirnya harga berpatah balik dan keuntungan yang sudah berada di depan mata hilang. Trading plan membantu mengawal kedua-dua emosi ini kerana keputusan telah dibuat lebih awal sebelum emosi mengambil alih.

Komponen Penting Dalam Trading Plan

1. Tentukan Matlamat Trading

Perkara pertama yang perlu ditetapkan ialah objektif anda.

Adakah anda seorang:

  • Day Trader?
  • Swing Trader?
  • Position Trader?

Setiap kategori mempunyai strategi yang berbeza. Sebagai contoh, seorang swing trader mungkin memegang saham selama beberapa hari atau minggu. Manakala day trader pula akan menutup semua posisi pada hari yang sama. Jika matlamat tidak jelas, strategi juga akan sentiasa berubah.

2. Tetapkan Kriteria Saham Yang Ingin Dipilih

Jangan membeli semua saham yang sedang menjadi perhatian ramai. Tetapkan syarat tertentu.

Contohnya:

  • Harga berada di atas Moving Average 50 hari.
  • Volum dagangan sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada purata.
  • Saham berada dalam trend menaik.
  • Baru melepasi paras resistance.

Dengan adanya kriteria ini, anda hanya akan memilih saham yang benar-benar memenuhi syarat. Ini membantu mengelakkan keputusan dibuat kerana FOMO.

3. Tentukan Entry Point

Ramai trader membeli saham hanya kerana melihat harga sedang naik. Sedangkan kenaikan tersebut mungkin sudah hampir berakhir. Trading plan perlu menjelaskan dengan tepat keadaan yang membolehkan anda memasuki sesuatu dagangan.

Sebagai contoh:

  • Breakout daripada kawasan resistance.
  • Pullback ke kawasan support.
  • Isyarat Golden Cross.
  • Corak Cup and Handle selesai terbentuk.

Semakin jelas syarat kemasukan, semakin kurang ruang untuk membuat keputusan secara impulsif.

4. Tetapkan Paras Cut Loss

Ini merupakan bahagian paling penting dalam trading plan. Tiada trader yang menang setiap kali berdagang. Kerugian adalah perkara biasa. Apa yang membezakan trader berjaya ialah mereka tahu bagaimana mengehadkan kerugian.

Sebagai contoh:

Harga belian = RM2.00

Cut loss = 5%

Jika harga jatuh ke RM1.90, anda akan menjual tanpa berlengah. Ramai trader baru enggan melakukan cut loss.

Mereka berkata:

“Saya tunggu dulu.”

“Mungkin esok harga naik semula.”

Masalahnya, tiada siapa tahu apa yang akan berlaku. Kerugian kecil yang tidak dikawal boleh bertukar menjadi kerugian besar.

5. Tetapkan Sasaran Keuntungan

Ramai trader tahu bila hendak membeli. Tetapi mereka tidak tahu bila hendak menjual. Akhirnya mereka menjadi tamak.

Sebagai contoh:

Mereka membeli saham pada RM1.50. Harga naik ke RM1.70. Mereka berharap harga naik ke RM2.00. Namun akhirnya harga jatuh semula ke RM1.45. Trading plan membantu menentukan sasaran keuntungan lebih awal.

Contohnya:

  • Ambil keuntungan pada kenaikan 15%.
  • Gunakan nisbah Risk Reward 1:2.
  • Jual apabila harga gagal mengekalkan trend menaik.

Dengan cara ini, keuntungan dapat dikunci secara lebih konsisten.

6. Urus Modal Dengan Betul

Ramai trader memberi tumpuan kepada keuntungan. Trader profesional pula memberi tumpuan kepada risiko.

Sebagai contoh:

Anda mempunyai modal RM30,000.

Jika anda menggunakan semua modal untuk satu saham dan saham tersebut jatuh 20%, kerugian ialah RM6,000. Sebaliknya, jika anda mengehadkan risiko kepada hanya 2% daripada keseluruhan modal bagi setiap dagangan, kesan kerugian akan jauh lebih kecil.

Pengurusan modal yang baik memastikan anda masih mempunyai peluang untuk berdagang pada hari berikutnya.

7. Simpan Trading Journal

Trading plan menjadi lebih berkesan apabila setiap transaksi direkodkan.

Catatkan:

  • Tarikh belian.
  • Sebab membeli.
  • Harga belian.
  • Harga jualan.
  • Keuntungan atau kerugian.
  • Kesilapan yang dilakukan.
  • Keadaan emosi ketika membuat keputusan.

Selepas beberapa bulan, anda akan mula melihat corak yang berulang. Mungkin anda sering rugi kerana membeli terlalu awal. Mungkin anda terlalu cepat mengambil keuntungan. Trading journal membantu anda mengenal pasti kelemahan sendiri dan memperbaikinya.

Contoh Situasi Trader Tanpa Trading Plan

Bayangkan seorang trader bernama Amir. Beliau melihat satu saham meningkat hampir 10% dalam sehari. Tanpa membuat sebarang analisis, Amir terus membeli kerana takut terlepas peluang.

Keesokan harinya, harga mula jatuh. Beliau tidak mahu menjual kerana berharap harga akan kembali naik. Beberapa hari kemudian, kerugian mencecah 25%.

Akhirnya beliau menjual kerana panik. Seminggu selepas itu, saham tersebut kembali naik. Amir mengalami kerugian bukan kerana saham itu tidak bagus, tetapi kerana setiap keputusan dibuat berdasarkan emosi.

Contoh Situasi Trader Dengan Trading Plan

Farid pula mempunyai trading plan yang lengkap. Beliau hanya membeli saham apabila berlaku breakout yang disahkan oleh volum tinggi. Beliau menetapkan cut loss sebanyak 5%. Sasaran keuntungan pula ialah 15%.

Apabila saham bergerak bertentangan dengan jangkaan, beliau terus melaksanakan cut loss tanpa berfikir panjang. Kerugiannya kecil. Modal masih terpelihara. Beliau boleh mencari peluang lain tanpa tekanan emosi. Dalam jangka panjang, pendekatan seperti ini jauh lebih mampan.

Trading Plan Perlu Sentiasa Dikemas Kini

Trading plan bukan dokumen yang ditulis sekali dan digunakan selama-lamanya.

Pasaran berubah.

Strategi juga perlu berubah mengikut keadaan semasa.

Lakukan semakan secara berkala.

Lihat statistik dagangan anda.

Tanya diri sendiri:

  • Adakah kadar kemenangan semakin baik?
  • Adakah keuntungan mengatasi kerugian?
  • Adakah strategi masih relevan?

Trading plan yang baik akan sentiasa berkembang seiring pengalaman anda sebagai trader.

Kesimpulan

Ramai orang beranggapan bahawa kejayaan dalam trading bergantung kepada kebolehan mencari saham yang bakal melonjak atau menggunakan indikator yang paling tepat. Hakikatnya, kejayaan jangka panjang lebih banyak bergantung kepada disiplin untuk mematuhi trading plan yang telah dirancang.

Trading plan membantu pedagang membuat keputusan secara sistematik, mengawal emosi, mengurus risiko dan melindungi modal daripada kerugian yang tidak perlu. Ia juga memastikan setiap dagangan mempunyai sebab yang jelas untuk masuk dan keluar, bukannya dibuat secara spontan kerana takut atau tamak.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pasaran saham sentiasa memberikan peluang baharu. Modal yang hilang akibat keputusan yang tidak terkawal mungkin mengambil masa untuk dipulihkan. Sebaliknya, trader yang mempunyai trading plan dan berdisiplin akan sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan pasaran kerana mereka tidak bergantung kepada nasib, tetapi kepada proses yang konsisten.