Badan Bersekutu SC Lancar Panduan Batik Lestari Untuk Memajukan Pertumbuhan Mampan Industri Batik

Badan bersekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Capital Markets Malaysia (CMM) hari ini melancarkan Sustainable Batik Disclosure Guide (SBDG), menandakan satu lagi langkah penting dalam memperjuangkan pertumbuhan mampan.

Alat praktikal ini memberi kuasa kepada penggiat batik, usahawan dan pengeluar untuk mendedahkan data serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan lebih mudah.

Pelancaran SBDG ini bertepatan dengan Festival Batik Lestari tahunan anjuran SC, satu pameran warisan batik Malaysia yang kaya, bertujuan membina pasaran yang lebih inklusif dan mampan, khususnya untuk PKS mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif tersebut mengukuhkan komitmen jangka panjang SC terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif.

“SBDG ialah alat praktikal yang membolehkan sektor batik Malaysia membezakan dirinya melalui kemampanan, meningkatkan akses pasaran, dan memelihara warisan budaya, sambil memenuhi jangkaan yang semakin meningkat daripada pembeli global dan tempatan, pelabur serta pengawal selia,” katanya.

SBDG merangkumi 34 pendedahan ESG keutamaan, selaras dengan piawaian kemampanan tempatan dan antarabangsa utama¹ bagi memastikan kesesuaian, kebolehbandingan dan kebolehverifikasian.

Ia disusun mengikut tahap Asas, Pertengahan dan Lanjutan bagi menyokong penggiat dan usahawan batik di pelbagai peringkat kemampanan dan kematangan.

Meneruskan kesinambungan Simplified ESG Disclosure Guide for SMEs in Supply Chains (SEDG) oleh CMM pada tahun 2023, SBDG membuktikan usaha SC untuk memperkukuh amalan ESG dalam kalangan MSME di semua sektor.

SBDG turut mengiktiraf keunikan sektor batik – daripada teknik pencelupan tradisional dan sumber tekstil kepada pengeluaran berasaskan komuniti – dengan menyediakan langkah-langkah praktikal untuk amalan yang bertanggungjawab.

Festival Batik Lestari 2025, kini memasuki edisi kedua, diadakan bersempena Persidangan Antarabangsa ASEAN Capital Markets Forum (ACMF), sekali gus mengetengahkan kekuatan budaya dan kreatif Malaysia kepada wakil serantau dan penonton antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, SC dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membantu mempromosikan industri batik tempatan.

MoU tersebut ditandatangani antara Pengarah Urusan SC, Datin Paduka Azalina Adham dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan usaha bersama merangkumi pembangunan kapasiti, kemampanan, penjenamaan dan inisiatif promosi bagi memperkasa pengeluar batik untuk mengamalkan amalan sejajar ESG serta meningkatkan daya saing pasaran.

Untuk maklumat lanjut, layari:
https://www.sc.com.my/resources/publications-andresearch/sustainable-batik-disclosure-guide

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.