Apa Yang Menyebabkan Kelab Bola Sepak Manchester City Berjaya?

Kejayaan terbaru Manchester City merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini telah menjadikan kelab tersebut sebagai salah sebuah kelab gergasi di liga tersebut. Dalam tempoh 12 tahun, Manchester City telah berjaya menjadi juara Liga Perdana Inggeris sebanyak 5 kali.

Kejuaraan yang diperolehi oleh Manchester City ini bukanlah secara kebetulan tetapi ia adalah strategi yang dilakukan oleh pemilik kelab tersebut lebih daripada sedekad yang lalu.

Ramai yang berpendapat bahawa kejayaan yang dimiliki oleh Manchester City ini adalah disebabkan pelaburan yang dilakukan oleh Abu Dhabi United Group. Jika tiada sebarang pelaburan dibuat, Manchester City mungkin berada di dalam divisyen dua bola sepak England.

Kata-kata tersebut mungkin ada benarnya tetapi tidak semua pelaburan besar-besaran berjaya membawa kejayaan jika tidak dilakukan dengan strategi yang betul. Sebagai contoh, kelab Malaga yang dibeli oleh keluarga Diraja Qatar kini bermain di divisyen kedua Sepanyol selepas jatuh dari liga utama pada tahun 2018.

Sejarah Moden Manchester City

Sebelum Manchester City dibeli oleh Abu Dhabi United Group, kelab ini merupakan kelab picisan yang sering naik turun dari divisyen satu dan dua dalam liga bola sepak Inggeris. Berlainan pula yang berlaku kepada jiranya Manchester United yang sering merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Manchester United, Sir Alexander Ferguson tidak meletakkan Manchester City sebagai pasukan berbahaya sebaliknya Liverpool, Arsenal dan Leeds United merupakan ancaman kepada Manchester United.

Kredit Gambar: Twitter

Perkara tersebut berubah apabila Abu Dhabi United Group mengambil alih Manchester City pada tahun 2008 daripada bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. Pengambilalihan yang dilakukan oleh Abu Dhabi United Group bersama jumlah pelaburan yang besar telah membawa pemain dan jurulatih berkelas dunia menyertai kelab tersebut.

Roberto Mancini yang merupakan pengurus pasukan Inter Milan telah menempa beberapa kejayaan di sana. Dalam tempoh tiga tahun, Manchester City telah berjaya merangkul kejuaran pertama Liga Perdana Inggeris di bawah pengurusan Roberto Mancini.

Mereka juga turut berjaya memenangi Piala FA dan juga layak buat pertama kali ke peringkat Eropah pada tahun 2010. Kejayaan yang diperolehi oleh Manchester City adalah disebabkan oleh pihak pengurusan yang tahu apa mereka inginkan.

Perkembangan City Football Group

Selepas kejayaan yang diperolehi oleh kelab Manchester City, Abu Dhabi United Group telah mengembangkan portfolio pelaburan mereka ke luar Eropah. Abu Dhabi United Group menggunakan khidmat Ferran Soriano sebagai penasihat sukan mereka, yang merupakan bekas penasihat sukan untuk Barcelona.

Ferran Soriano mempunyai cita-cita tinggi yang tidak mampu dicapai di Barcelona telah menjadikan Manchester City sebagai platform untuk menonjolkan bakatnya.

Dengan bantuan dana yang  besar, beliau mempunyai strategi yang luar biasa. Pada tahun 2013, Abu Dhabi United Group secara rasminya menubuhkan City Football Group.

Kredit Gambar: The Sun

City Football Group ini melabur ke dalam pelbagai kelab dalam bola sepak selain di Eropah. Hampir di seluruh benua mereka mempunyai kelab bola di bawah kumpulan tersebut.

Mereka turut menubuhkan pusat latihan bagi mencari bakat baru di dalam sukan tersebut. Kejayaan yang dimiiki City Football Group ini telah membuka mata ramai pihak tentang pelaburan dalam sukan bola sepak era moden.

City Football Group Memasuki Era Digital

Kredit Gambar: YouTube

Mereka juga turut bekerjasama dengan pelbagai media hiburan moden yang melibatkan streaming online. City Football Group bekerjasama dengan Amazon dalam menyiarkan aktiviti harian mereka secara online kepada peminat kelab tersebut.

City Football Group turut melakukan pelaburan yang besar ke atas Sapphire Sport, sebuah syarikat streaming untuk memodenkan hak penyiaran kelab mereka.

Kini, kejayaan demi kejayaan yang diperolehi oleh kumpulan City Football Group namun malangnya Manchester City tidak berjaya memenangi Piala Eropah pertama mereka apabila kalah dengan Chelsea baru-baru ini.

Semua kejayaan yang diperolehi oleh Manchester City telah menyebabkan ramai peminat lain mendakwa Manchester City merupakan kelab yang berjaya disebabkan dengan duit yang banyak. Tetapi mereka lupa strategi yang betul memainkan peranan yang penting untuk berjaya dalam dunia perniagaan dan bola sepak di era moden ini.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.