Mustafa Centre Dari Singapura Bakal Buka Gedung Pertama Di Johor Bahru Tidak Lama Lagi

SINGAPURA, 28 Jan (Bernama) —  Mustafa’s Pte Ltd (Mustafa) yang mengendalikan gedung terkemuka Mustafa Centre di Singapura akan membuka gedung utama pertamanya di Johor Bahru, Malaysia, tidak lama lagi.

Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Capital World Ltd (Capital World) bahawa ia akan menjual kebanyakan ruang termasuk unit runcit di Capital City Mall di Johor Bahru kepada Mustafa dengan harga RM368 juta, dalam usaha pemaju hartanah itu untuk meningkatkan lembaran imbangannya dan mempercepat pemulihan syarikat.

“Selepas kejayaan pembukaan gedung runcit sehenti mega kami di Singapura bagi pelbagai barang daripada barangan pengguna laris hingga kepada barangan fesyen, kosmetik dan elektronik, kami percaya sudah sampai masanya bagi kami untuk menembusi pasaran Malaysia.

“Apatah lagi sekarang dengan sekatan pandemik telahpun ditarik balik,” kata Pengarah Urusan Mustafa, Mustaq Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Singapore Exchange, pada Jumaat.

Menurutnya, satu daripada cabaran utama syarikat itu sehingga sekarang adalah mencari tapak yang sesuai.

“Capital City Mall memenuhi banyak keperluan bagi gedung utama pertama kami, memandangkan kedekatannya dengan Singapura serta ruang lantai yang luas,” katanya.  

Mustafa akan membeli 591 unit runcit yang tidak terjual di Capital City Mall daripada syarikat tersebut yang merupakan gabungan kawasan boleh sewa bersih seluas 641,216 kaki persegi.

Ia juga akan membeli 374 bahagian aksesori yang termasuk kawasan terbuka dan kawasan pelbagai guna meliputi kawasan seluas 1.28 juta kaki persegi dan semua 2,181 lot parkir, katanya. 

Syarikat tersebut berkata pembelian oleh Mustafa itu menandakan penerokaan pertamanya sebagai pengendali gedung beli belah utama di Malaysia, pasaran yang telah lama menjadi sasarannya untuk ditembusi. 

Gedung beli belah itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu pegangan kekal di Tampoi yang juga akan termasuk 315 bilik hotel, menara 18 tingkat dengan 630 suite berperkhidmatan dan 690 apartment berperkhidmatan merangkumi tiga blok.

Mustafa merupakan satu daripada peruncit terkemuka di Singapura yang telah menjalankan perniagaan lebih daripada lima dekad. 

Gedung utama, Mustafa Centre, di Syed Alwi Road menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk elektronik pengguna, barang kemas, mainan, fesyen, kosmetik dan barangan pengguna laris.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.